Ahli Parlimen Selayang William Leong menjadi wakil rakyat kerajaan terbaru mendesak kerajaan Pakatan Harapan untuk membatalkan surcaj sebanyak RM1.35 sen setiap kWj dalam tarif elektrik untuk pengguna komersil yang berkuat kuasa pada 1 Julai.
"Walaupun surcaj itu tidak membabitkan pelanggan domestik (pelanggan kediaman), industri yang terjejas akan menyalurkan peningkatan kos kepada pengguna, sehingga mempengaruhi kos sara hidup mereka.
"Ini akan bertentangan dengan janji kerajaan HARAPAN untuk mengurangkan kos sara hidup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isnin lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menimbulkan kebimbangan sama, dengan berkata, separuh kedua tahun ini adalah tempoh kritikal dalam usaha mengurangkan kos sara hidup selepas kerajaan memperkenalkan kadar sifar bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
Rafizi menyatakan bimbang bahawa surcaj tarif akan mendorong peniaga-peniaga menggunakannya sebagai alasan untuk tidak menurunkan harga barangan.
Mengikut sistem Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) Tenaga Nasional Bhd (TNB) boleh memindahkan peningkatan kos penjanaan tenaga kepada pengguna.
Bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2018, TNB dibenarkan memindahkan kos RM698.19 juta kepada pelanggannya.
Walau bagaimanapun, Leong mengingatkan bahawa TNB membuat keuntungan sebanyak RM2.116 bilion untuk suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2018.
"Kerajaan HARAPAN mesti mengkaji segera ketidak-seimbangan mekanisme ICPT sebagai sebahagian daripada janji untuk mengurangkan kos sara hidup.
"Keuntungan tinggi dan dividen berganda diraih oleh para pemegang saham TNB sementara kerajaan dan orang awam menanggung kos tambahan mungkin sesuatu yang lumrah bagi kerajaan BN, tetapi pastinya tidak boleh diterima oleh kerajaan HARAPAN," katanya.