Datuk Seri Jamal Md Yunos dihantar pulang ke Kuala Lumpur melalui penerbangan MH710 dari Jakarta pada pukul 11 pagi (waktu Indonesia) tadi, kata peguamnya Imran Tamrin dalam kenyataan.
"Beliau dijangka tiba pada pukul 2.15 petang," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata Jamal akan terus dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang.
Imran berkata, ketika beliau melawat Jamal Selasa lalu anak guamnya dalam keadaan yang baik walau kelihatan letih.
"Polis Indonesia menjaganya dengan baik...Saya diberitahu mereka membekalkan segala keperluan dan ubat-ubatan kepada Jamal," kata Imran.
Beliau berkata polis Indonesia telah mengambil keterangan Jamal semalam, sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk memberi keterangan dengan bantuan peguamnnya di sana, Adherie Zulfikri.
Imran yang juga ADUN Sungai Panjang berkata, Jamal dan keluarganya mengucapkan terima kasih kepada Polis dan Jabatan Imigresen Indonesia, serta polis dan kedutaan Malaysia, kerana mejaganya dengan baik selama ditahan.
Jamal yang melarikan diri sejak Mei lalu ditahan di Tebet, Jakarta Selatan, pada 2 Julai lalu. Beliau ditahan di ibu pejabat polis Jakarta Selatan sebelum dihantar pulang pagi ini.
Beliau pertama kali ditahan polis pada 22 Mei lalu ketika dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri, namun melarikan diri ketika proses ikat jamin.
Bekas ketua kumpulan Baju Merah itu dikehendaki polis atas beberapa kesalahan, antaranya di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana melakukan gangguan awam dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960 berkaitan penggunaan senjata api.