GLOBAL | Seorang pengawal keselamatan berusia 64 tahun maut ditembak manakala dua yang lain cedera parah dalam tiga kejadian berasingan di wilayah bergolak Pattani dan Yala, wilayah selatan Thailand hari ini.
Dalam kejadian jam 7.40 pagi waktu tempatan, pengawal keselamatan, Mail Salleh, ditembak mati ketika menunggang motosikal ke tempat kerja di sebuah sekolah di Kampung Klong Hin, daerah Khokpo di Pattani.
“Mangsa ditembak sembilan kali di bahagian badan dan kepala dan sepucuk pistol milik mangsa turut hilang,” kata Ketua Polis Pattani, Mej Jen Piyawat Chalermsi.
Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan.
Di Yala, seorang awam cedera ditembak ketika berada di hadapan sebuah stesen minyak di daerah Muang pada jam 11.30 pagi waktu tempatan, kata Ketua Polis Yala, Mej Jen Krissada Jandee.
Beliau berkata dalam kejadian lain, seorang penoreh getah, yang juga merupakan penolong ketua Kampung Kasang di daerah Bannang Setar, cedera parah selepas terpijak bom ketika menoreh getah kira-kira jam 6.30 pagi (waktu tempatan).
Ia merupakan kejadian kelima melibatkan penoreh getah dalam tempoh seminggu.
- Bernama