Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat meninggalkan kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, kira-kira jam 8.50 malam, sebentar tadi.
Beliau keluar dengan menaiki Toyota Vellfire diikuti motosikal pengiring dan beberapa kenderaan lain.
Bagaimanapun, wartawan tidak dapat memastikan ke mana destinasi yang ditujukan anggota parlimen Pekan itu.
Najib hari ini dituduh pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana anak syarikat 1MDB, SRC International di Mahkamah Tinggi di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Dalam pertuduhan yang mendapat perhatian media dalam dan luar negeri itu, beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan.
Najib dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin dan pasportnya diperintah diserahkan kepada mahkamah.
Terdahulu Najib dikunjungi beberapa pemimpin Umno termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekitar jam 6.50 petang, tadi.
Malaysiakini difahamkan kehadiran pemimpin Umno itu sebagai tanda sokongan dan solat hajat bersama bekas presiden parti keramat Melayu itu, menurut salah seorang peyokong yang sempat disapa kami.
Kesemua kenderaan pemimpin Umno itu juga dilihat keluar dari perkarangan Umno sekitar jam 8.45 malam.