Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz enggan mengulas ketika ditanya mengenai akaun bank RM2.6 billion bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya tidak mahu mengulas mengenainya sekarang kerana ia merupakan satu kes…Saya tidak boleh beri komen mengenainya sekarang. Namun, pada satu tahap, anda akan dapat komen itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Kuala Lumpur hari ini.
Portal berita Malaysiakini melaporkan Najib mendakwa Zeti mengetahui dana dalam akaun banknya sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), namun tidak mempersoalkannya.
Najib berkata jika BNM ragu-ragu mengenai sumber dana berkenaan, beliau menjangkakan mereka akan memaklumkan kepadanya.
“Namun itu tidak berlaku. Oleh itu, saya mengandaikannya tidak ada masalah," Najib dipetik sebagai berkata oleh portal berita itu.
Terdahulu, ditanya mengenai butiran mesyuarat bersama pengurusan Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada Isnin, Zeti berkata dalam pertemuan selama dua jam itu beliau diberikan taklimat mengenai fungsi, aktiviti dan bidang operasi masing-masing.
"Belum ada taklimat mengenai pelan tindakan. Kami akan mengadakan lebih banyak taklimat seterusnya,” kata Zeti.
Zeti dilantik sebagai pengerusi kumpulan PNB berkuat kuasa 1 Julai, menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang bersara pada 30 Jun.
-Bernama