Seorang ADUN Pulau Pinang menyatakan rasa terkejutnya dengan keputusan kerajaan mengekalkan Biro Tatanegara (BTN), bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan pada PRU ke-14.
ADUN Bukit Tengah Gooi Hsiao Leung berkata ini kerana BTN sebelum ini tidak lebih sekadar alat politik buat BN bagi menyebarkan propaganda yang menghalang kepada perpaduan kaum.
"Mengapa kita mahu habiskan wang untuk mengekalkan agensi yang sekian lama menjadi alat politik BN, untuk 'mencuci otak' dengan propaganda rasis dan kebencian?
"Ia adalah raksasa yang diwujudkan BN untuk menyebarkan kebencian dan perlu ditamatkan. Raksasa ini perlu disembelih.
"Agensi kerajaan seperti BTN tiada tempat dalam Malaysia baru. Saya menggesa kerajaan menimbang semula keputusan mengekalkan biro itu," katanya kepada Malaysiakini.
Beliau mengulas keputusan kerajaan mengekalkan BTN bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti yang dinyatakan dalam surat bertarikh 26 Jun berhubung rasionalisasi struktur JPM yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.
Bagaimanapun tidak pasti sama ada peranan dan fungsi jabatan itu akan ditukar atau tidak.
Dalam manifesto HARAPAN, BTN disifatkan sebagai jabatan yang disalah guna sehingga menjadi agen politik Umno dan BN serta perlu dibubarkan.
Pelbagai NGO juga telah menyeru perkara sama antaranya Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang mendakwa menganggap jabatan itu menjadi halangan kepada perpaduan negara.
Gooi yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR mengingatkan kerajaan berhubung janji itu dan menggesa anggota parlimen membangkitkan soal ini pada sidang parlimen akan datang.
Namun, katanya lagi, jika kerajaan tetap dengan keputusan mengekalkan BTN, matlamat dan peranannya perlu digariskan semula dan semua pegawai yang mengetuai jabatan itu selama ini disingkirkan.
Beliau juga mencadangkan matlamat utama BTN diubah kepada pengukuhan perpaduan negara berdasarkan prinsip Rukun Negara.
"Jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkannya, mereka perlu menjelaskan kepada umum bagaimana dan dalam bentuk apa BTN akan ditambah baik seluruhnya," katanya lagi.