Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azis Jamman dianggap hebat ketika tumpaskan Rahman Dahlan
Diterbitkan:  Jul 2, 2018 6:09 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Datuk Mohd Azis Jamman, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dianggap sangat hebat apabila berjaya menumbangkan tokoh Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk kerusi Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lalu.

Beliau yang dilahirkan pada 3 Nov 1974, menang dengan kelebihan majoriti 12,984 undi mengatasi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Mohd Azis, 44, berketurunan Bajau, mendirikan rumah tangga dengan Datin Norlizah Awang Ahmad.

Beliau memperoleh Sarjana Muda dalam bidang Sains Komputer minor Matematik daripada Hawai'i Pacific University (HPU) pada 2000.

Setelah menamatkan pengajian, beliau sempat menjadi pensyarah di Kolej Ibukota Kinabalu (KIK) bermula 17 Jun hingga 26 Nov 2000, sebelum menjadi Pegawai Sistem Maklumat Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sabah (UMS) hingga 31 Dis 2008.

Mohd Azis juga pernah memegang jawatan Pengerusi dan Anggota Lembaga Pengarah Kolej Poly-Tech MARA sejak Julai 2013 hingga 2016.

Penglibatan politik beliau mula berkembang apabila dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Semporna, Exco Pergerakan Pemuda Umno Sabah dan Ketua Penerangan Sekretariat Pertanian, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sejak Januari 2009 hingga 2016.

Beliau kemudiannya mengikut jejak Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (pada masa itu Naib Presiden Umno) keluar parti itu pada 2016 dan bersama-sama menubuhkan Warisan, sebelum dilantik sebagai Ketua Wira Warisan Sabah hingga kini.

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS