Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memutuskan untuk mengekalkan Biro Tatanegara (BTN) yang sebelum ini sering dikritik atas dakwaan menjadi propaganda BN.
Menurut surat bertarikh 26 Jun yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, BTN merupakan antara 26 jabatan yang kekal bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam rasionalisasi strukturnya.
Ia diluluskan selepas perbincangan antara Ali dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun tidak pasti sama ada peranan dan fungsi jabatan itu akan ditukar atau tidak.
Jabatan lain yang dikekalkan adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).
Rasionalisasi struktur itu memindah, membubar dan menggabungkan 55 jabatan dan agensi yang sebelum ini di bawah JPM, berkuatkuasa 1 Julai.
Sembilan jabatan dan agensi lagi, antaranya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dijadikan entiti bebas dan diletakkan bawah Parlimen.
Sebelum ini, banyak pihak termasuk NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa kerajaan baru membubarkan BTN kerana menganggap jabatan itu menjadi halangan kepada perpaduan negara.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan kerajaan akan mengkaji cadangan tersebut.
Kerajaan kini sedang menilai semula Akta Keselamatan Dalam Negara (MKN) 2016 - sama ada untuk dipinda atau dimansuhkan.
Dalam manifesto PRU ke-14, HARAPAN berjanji akan memansuhkan sejumlah akta yang dilihat menekan seperti Akta MKN, Akta Hasutan 1948 dan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
Sementara itu, surat tersebut juga menunjukkan Majlis Profesor Negara tetap dibubarkan.
Ia di sebalik permintaan bekas anggotanya termasuk Profesor Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak agar ia dikekalkan ketika pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan bulan lalu.