Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menolak tawaran yang diberikan kepadanya oleh presiden baru Umno, iaitu menjadi setiausaha agung parti.
Melalui ciapan di Twitter, bekas menteri dan ketua Pemuda Umno itu menegaskan beliau hanya mahu memberikan fokus kepada tugasnya sebagai anggota parlimen.
Bagaimanapun kata Khairy, beliau akan tetap sedia membantu parti terbabit, serta - tidak seperti beberapa anggota parlimen Umno - setia kepadanya.
"Terima kasih DS @Zahid_Hamidi kerana menawarkan saya jawatan Setiausaha Agung BN tadi.
"Saya memberi tahu beliau saya tidak mahu pegang apa-apa jawatan tinggi parti. Saya memberi fokus kepada tugas sebagai MP (anggota parlimen). Sedia bantu & tetap bersama Umno," ciapnya.
Khairy adalah salah seorang pemimpin kanan dalam Umno yang kini tidak lagi mempunyai sebarang jawatan dalam kepemimpinan tertinggi parti.
Bermula dengan menawarkan diri sebagai naib presiden, anak seorang diplomat itu mengejutkan ramai apabila menyertai persaingan merebut jawatan presiden pada saat-saat akhir penamaan calon.
Baru berusia 42 tahun Khairy berdepan dengan dua pemimpin yang lebih kanan, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Terima kasih DS @Zahid_Hamidi kerana menawarkan saya jawatan Setiausaha Agung BN tadi. Saya memberi tahu beliau saya tidak mahu pegang apa2 jawatan tinggi parti. Saya memberi fokus kepada tugas sebagai MP. Sedia bantu & tetap bersama UMNO. https://t.co/O3URgRUJxd
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) July 1, 2018
Berdasarkan keputusan rasmi diumum Ibu Pejabat Umno, 99 bahagian dalam parti itu memilih Ahmad Zahid sebagai nakhoda baru mereka manakala Khairy cuma menerima 61 undi.
Tengku Razaleigh pula sekadar mengumpul 30 undi.
Bagaimanapun mengikut perkiraan undi berdasarkan jumlah diterima Khairy serta Tengku Razaleigh, majoriti ahli Umno boleh dianggap mahu pemimpin selain Ahmad Zahid menjadi presiden Umno.
Khairy menegaskan beliau memang menerika keputusan berkenaan dengan hati terbuka. Malah malam tadi beliau menganggap kekalahan skuad bola sepak kebangsaan Argentina dalam Piala Dunia di Russia sebagai khabar terburuk yang datang kepadanya.
Pagi tadi pula Khairy menyatakan rasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak dalam Umno yang didakwanya mempunyai mentaliti feudal serta tidak ada pendirian.
Katanya ketika ini masih wujud tokoh tertentu yang bersifat mencengkam - digelarnya sebagai warlord - mempengaruhi pengundian parti.
"Angguk-angguk, tepuk-tepuk, seolah-olah tiada pendirian sendiri. Majoriti ahli nak berubah tetapi warlords masih pekak terhadap suara rakyat," ciapnya.