Paling Popular
Terkini

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau diminta hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Anggota Parlimen Bagan Datuk itu berkata ada beberapa isu yang perlu dijelaskan kepada agensi antirasuah berkenaan.

Antaranya, kata bekas timbalan perdana menteri tersebut, mengenai sebuah yayasan milik keluarga yang ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti amal.

"Yayasan tersebut adalah untuk aktiviti (seperti) pembinaan masjid, maahad tahfiz, rumah anak yatim dan beberapa aktiviti kebajikan lain seperti sedekah dan lain-lain.

"Wang dalam yayasan keluarga saya adalah sumbangan saya sendiri dan beberapa kawan yang hendak melakukan amal jariah," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Ia adalah sidang media pertama Ahmad Zahid sebagai presiden Umno. Turut hadir Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua daripada tiba naib presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Kata Ahmad Zahid hal mengenai yayasan itu akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam perjumpaan beliau dengan pegawai SPRM nanti.

Janji akan telus

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih merundingkan waktu pertemuan tersebut.

Terdahulu media melaporkan SPRM meminta Ahmad Zahid memberi keterangan kepada agensi berkenaan berhubung beberapa dakwaan yang dikaitkan kepadanya.

Memetik sumber The Star Online melaporkan antara butiran yang ingin diketahui SPRM ialah dakwaan Ahmad Zahid menggunakan dana yayasan tersebut untuk kepentingan peribadi.

Turut menarik perhatian ialah dakwaan pemimpin Umno itu mengenai pertemuannya dengan seorang anggota keluarga bangsawan Arab Saudi yang mengaku memberikan derma berbilion ringgit kepada Datuk Seri Najib Razak.

Untuk rekod, Najib - yang mengosongkan kerusi presiden Umno kerana kalah dalam pilihan raya umum lalu - sedang disiasat berhubung beberapa isu, termasuk skandal 1MDB.

Najib sendiri sudah memberikan keterangan kepada SPRM sebelum ini.

Siasatan berkenaan juga menyaksikan pihak berkuasa membekukan kira-kira 900 akaun bank termasuk milik Ibu Pejabat Umno Malaysia serta Umno Selangor kerana disyaki mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu.

Ditanya sama ada pertemuan dengan SPRM itu juga melibatkan isu pembekuan akaun Umno, Ahmad Zahid tidak dapat memberikan kepastian.

Katanya, beliau tidak tahu apa soalan yang akan ditanyakan oleh SPRM esok.

"Tapi saya akan berikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan saya perlu telus," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS