Walaupun Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerima kekalahannya dalam pemilihan presiden Umno semalam dengan hati yang terbuka, namun beliau berkata majoriti ahli Umno mahukan perubahan, sebaliknya warlord parti yang enggan berubah.
"Walaupun saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka, saya mahu Umno berubah. Buang mentaliti feudal.
"Angguk-angguk, tepuk-tepuk, seolah-olah tiada pendirian sendiri. Majoriti ahli nak berubah tetapi warlords masih pekak terhadap suara rakyat," katanya pada suatu hantaran Twitter.
Walaupun saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka, saya mahu UMNO berubah. Buang mentaliti feudal. Angguk2, tepuk2, seolah2 tiada pendirian sendiri. Majoriti ahli nak berubah tetapi warlords masih pekak terhadap suara rakyat.
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) July 1, 2018
Sementara itu, dalam suatu hantaran Twitter lain, Khairy yang dikenali sebagai KJ mempersoalkan sistem pengundian kali ini mendakwa ramai yang diugut dan dipaksa mengundi mengikut pilihan warlord.
"Statistik undi popular menunjukkan majoriti ahli Umno mahukan perubahan.
"Sistem undi bahagian menyebelahi warlords yang mempunyai cengkaman kuat atas bahagian mereka.
"Ramai diarah, diugut, dipaksa ikut pilihan warlords," katanya.
Statistik undi popular menunjukkan majoriti ahli UMNO mahukan perubahan. Cuma, sistem undi bahagian menyebelahi warlords yang mempunyai cengkaman kuat atas bahagian mereka. Ramai diarah, diugut, dipaksa untuk ikut pilihan warlords.
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) July 1, 2018
Dalam hantaran itu juga, Khairy turut menyertakan senarai penjumlahan undi calon-calon yang merebut jawatan tertinggi Umno itu.
Daripada senarai itu, Datuk Seri Zahid Hamidi mendapat 39,197 undi ahli Umno yang bersamaan dengan 99 undi bahagian, sekaligus melayakkan beliau muncul pemenang memegang jawatan Presiden Umno yang ketujuh.
Senarai itu juga menunjukkan Khairy mendapat 32,592 undi, Tengku Razaleigh Hamzah memperolehi 20,462 undi, manakala dua lagi calon yang kurang dikenali masing-masing mendapat 124 dan 92 undi ahli Umno dalam pemilihan di peringkat bahagian.
Latest, official results from UMNO party HQ. Electoral college votes: @Zahid_Hamidi 99 @Khairykj 61 @tengkurazaleigh 30. Last column is popular vote. Terima kasih semua yang memberi sokongan. pic.twitter.com/lAHfjDPaqA
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) July 1, 2018
Dua lagi calon utama yang bersaing untuk mengisi tempat ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib Razak ialah anggota parlimen Rembau yang juga bekas ketua Pemuda Umno, serta anggota parlimen Gua Musang.
Khairy mendapat 61 undi manakala Tengku Razaleigh 30 undi bahagian.
Untuk rekod, pemilihan ini adalah percubaan kedua Tengku Razaleigh untuk menjadi presiden selepas 1987. Kira-kira 31 tahun lalu cubaan beliau digagalkan oleh kelebihan 43 undi yang memihak kepada perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Khairy sebelum ini menyerahkan borang pencalonannya hanya beberapa jam sebelum pencalonan ditutup.
Terdahulu, penganalisis mengatakan jika Khairy tidak bertanding, ada kemungkinan Tengku Razaleigh akan menang dan begitu juga sebaliknya.