Paling Popular
Terkini

Lelaki yang berkahwin dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun tidak akan melepaskan isteri ketiganya itu walaupun menerima pelbagai desakan dan andaian kurang tepat berhubung perkahwinannya.

Che Abdul Karim Che Abdul Hamid, 41, berkata pernikahan dengan isteri ketiganya itu - yang dikenali sebagai Ayu - bukan kes dibawa lari, sebaliknya dipersetujui ibu bapa budak perempuan terbabit.

Malah katanya mereka hadir bersama ketika majlis pernikahan berlangsung di Sungai Golok, selatan Thailand pada 18 Jun lepas.

Katanya dia berjanji akan mendapatkan sijil nikah isterinya itu lima tahun lagi apabila mencapai usia 16 tahun sebelum mereka dapat tinggal bersama.

"Saya rasa kecewa apabila menerima pelbagai andaian dan tuduhan mengarut terhadap saya dalam media sosial kerana bernikah dengan isteri ketiga itu.

"Perkara itu sedang saya teliti untuk diambil tindakan undang-undang bagi menutup malu disebabkan tuduhan melampau dan tidak tepat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lalang, Kuala Betis, dekat Gua Musang hari ini.

​​​​​​​Che Abdul Karim mengakui sebelum bernikah dengan budak perempuan warga Thailand itu, dia terlebih dahulu menemui ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tinggal di Kampung Panggong Lalat untuk mendapatkan kebenaran.

Kaanya mereka bersetuju dengan syarat nikah gantung dahulu dan menunggu selama lima tahun lagi sebelum tinggal bersama.

"Saya pun tahu isteri ketiga ini baru berusia 11 tahun dan tidak bersekolah yang memerlukan masa sehingga umur 16 tahun untuk tinggal bersama dan Ayu juga bersetuju," katanya.

Nikah gantung bermaksud pernikahan yang berlaku antara sesuatu pasangan tetapi tidak duduk serumah dalam tempoh masa tertentu yang ditetapkan kedua-dua pihak lelaki dan perempuan.

Dia juga menafikan tuduhan pihak tertentu bahawa rumah tangganya retak dengan dakwaan kononnya isteri pertama dan keduanya menuntut cerai.

Katanya kedua-dua isterinya tidak pernah menyuarakan tindakan itu dan turut menerima isteri ketiganya sebagai madu mereka.

Beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan tular di media sosial sejak Jumaat lepas selepas perkara itu dikongsikan oleh isteri kedua lelaki terbabit.

Berikutan penularan berita itu, pengguna laman sosial tindakan lelaki berkenaan dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS