Beberapa jam selepas disahkan menjadi presiden Umno, muncul laporan mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah laku dana sebuah yayasan.
Portal The Star Online melaporkan Ahmad Zahid juga akan ditanya mengenai pertemuan didakwanya berlangsung antara beliau dengan seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi.
Keluarga bangsawan didakwa ditemui Ahmad Zahid itu merujuk kepada pihak yang dikatakan menghulur derma kepada bekas bosnya, Datuk Seri Najib Razak.
Memetik sumber peringkat tinggi, portal itu berkata Ahmad Zahid akan diminta menjelaskan mengenai tuduhan ada dana dari sebuah yayasan digunakan bagi membayar tuntutan kad kredit beliau dan isterinya.
Bayaran itu, lapor The Star Online, berjumlah RM800,000 dan anggota parlimen Bagan Datuk berkenaan ialah pengerusi yayasan tersebut.
Rekod menunjukkan yayasan berkenaan didaftarkan pada 1997 dan berperanan untuk menerima serta mengelola dana bagi membasmi kemiskinan.
"Kami mahu siasat sama ada wujud kebenaran dalam dakwaan bahawa beliau menggunakan dana dari yayasan tersebut untuk kegunaan peribadi," katanya.
Memetik sumber itu The Star Online berkata dalam pertemuan yang berlangsung esok itu Ahmad Zahid turut diminta penjelasan mengenai pertemuannya dengan putera raja Arab Saudi itu.
"Kami nak tahu lebih lanjut siapa orang terebut dan apa yang dicapai dalam pertemuan berkenaan," katanya seperti dipetik portal berkenaan.
Ahmad Zahid disahkan menjadi pengganti Najib bagi mengetuai Umno dalam pemilihan yang berlangsung serentak di seluruh negara semalam.
Diperakui Najib sebagai seorang sahabatnya, Ahmad Zahid mengalahkan dua pencabar utama iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahmad Zahid mendapat 99 undi berbanding Khairy 61 dan Tengku Razaleigh 30.