Polis mengekalkan istilah Kumpulan Mujahidin Malaysia walau laporan akhbar-akhbar tempatan termasuk agensi berita nasional Bernama sejak dua hari lalu menukar nama KMM sebagai Kumpulan Militan Malaysia.
"Saya tidak pasti di mana akhbar dapat (istiah 'militan')," jelas Pegawai Perhubungan Awam ibu pejabat polis Bukit Aman, ASP Samsudin Ali kepada malaysiakini hari ini.
Beliau menjelaskan polis masih menggunakan istilah "Mujahidin" berdasar kenyataan awal Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai sebelum ini.
Ketika menjelaskan penangkapan lapan orang, termasuk aktivis Pemuda PAS, mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 3 Ogos di Johor Bahru, Norian mendakwa mereka menyertai "Kumpulan Mujahidin Malaysia."
Akhbar The Sun dan The Star masih mengekalkan perkataan "Mujahidin".
Samsudin turut menyebutkan, setakat ini polis belum dapat memastikan sama ada letupan di Plaza Atrium, Pasar Senen, Jakarta pada 1 Ogos mempunyai kaitan dengan gerakan KMM di negara ini.
Komplot letupan tersebut turut dikaitkan dengan dua letupan di gereja-gereja Santa Ana, Duren Sawit dan IKBP, Jatiwaringin pada 22 Julai.
Wisma Putra mengesahkan seorang warganegara Malaysia Taufik Abdul Halim, sebelum ini dilaporkan sebagai Dani telah, cedera parah dalam letupan itu.
Samsudin bagaimanapun berkata identiti Taufik atau Dani masih belum dapat disahkan dengan jelas. Malaysiakini difahamkan dari sumber-sumber di Jakarta kemungkinan nama-nama itu dua orang yang berlainan.
Menyusup masuk Indonesia
Tambahnya, kumpulan pegawai polis yang dihantar menjalankan siasatan di Indonesia minggu ini masih berada di Jakarta dan sehingga kini belum ada sebarang perkembangan terbaru.
Akhbar melaporkan Taufik yang berasal dari Kluang, Johor pernah belajar dalam jurusan pengurusan harta di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Samsudin juga berkata polis masih menyiasat bagaimana Taufik dapat menyusup masuk ke negara jiran itu.
Akhbar semalam melaporkan Taufik dan lapan rakannya menyusup masuk dengan kapal dari Johor, menuju Sabah dan ke Nunukan, Kalimantan Timur. Kemudian meneruskan perjalanan ke Sulawesi.
Ketika di Sulawesi, kumpulan itu berpecah dan sebilangan daripada mereka menyertai kumpulan jihad di Ambon, Kepulauan Maluku, sementara yang lain, termasuk Taufik, meneruskan perjalanan ke Jakarta.
Samsudin memberitahu, Jabatan Imigresen negara ini telah mengesahkan pasport Taufik telah dirampas sejak 1996.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin berkata Malaysia belum bercadang memohon perintah membawa pulang Taufik yang kini sedang dirawat di hospital polis Kramatjati, Jakarta.
"Kita mungkin timbangkan jika pihak Indonesia sudah selesai proses undang-undang mereka. Kalau (Taufik) tidak langgar peraturan mereka dan jika dibenarkan, mungkin kita pohon (ekstradisi)," katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.