ADS
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang lagi individu semalam bagi membantu siasatan berhubung pemberian beberapa tender projek pembinaan di Putrajaya membabitkan RM300 juta.

Menurut sumber, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sekitar jam 1.30 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Berdasarkan laporan awal, lelaki tersebut yang pernah bertugas sebagai arkitek di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi memanipulasi beberapa kos proses projek pembinaan.

Menurut sumber lagi, projek yang dianugerahkan kontraktor menerusi proses tender disabotaj menyebabkan ia gagal dilaksanakan sebelum diberikan kepada kontraktor pengganti yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan arkitek terbabit dan perkara ini dikatakan dirancang lebih awal.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ruslan Che Amad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Seksyen 17 (a) Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS