PEMILIHAN UMNO 2018 | Nampaknya kecundang dalam perlumbaan menjadi presiden Umno bukanlah berita yang benar-benar menjejaskan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sebaliknya menurut bekas ketua Pemuda Umno itu, berita terburuk yang sampai kepadanya pada malam ini ialah betapa pasukan Argentina terpaksa membungkus pakaian masing-masing dan pulang dalam kehampaan.
Semuanya gara-gara skuad terbabit gagal menyekat kemaraan pasukan Les Bleus di peringkat kalah mati sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Kazan Arena itu Perancis memaksa skuad La Albiceleste mengalah dengan jaringan 4-3.
Khairy - yang memang dikenali sebagai peminat sukan, terutama bola - menciap ringkas di Twitter: "Khabar terburuk malam ini."
Terdahulu Khairy menciap mengenai keputusan pemilihan Umno kali ini yang menyaksikan dia terpaksa akur kepada pengaruh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan presiden Umno.
Worst news today! https://t.co/r6zEDmSQhX
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) June 30, 2018
Dengan kekalahan itu Khairy - setakat ini - tidak mempunyai sebarang jawatan di peringkat pusat kerana dia cuma menawarkan diri bertanding bagi jawatan presiden.
Keputusan rasmi menyaksikan Khairy, 42, memperoleh 51 undi berbanding Ahmad Zahid, 93 undi.
Dakwa ada wang terlibat
Seorang lagi calon Tengku Razaleigh Hamzah yang mendapat sekadar 23 undi.
Mengulas mengenai keputusan itu Khairy berkata dia menerimanya dengan hati yang terbuka.
Bekas menteri belia dan sukan dan penyokong Manchester United itu juga percaya barisan kepemimpinan baru Umno dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti berkenaan.
Selepas memberi nasihat supaya parti itu melakukan perubahan menyeluruh, siri ciapannya mengenai pemilihan tersebut 'terganggu' seketika.
"Sekejap, Argentina baru score (jaringkan gol)," ciapnya tiba-tiba.
Perancis mengejutkan skuad Argentina yang turut dibarisi Lionel Messi seawal minit ke-13 melalui tendangan penalti Antoine Griezmann.
Argentina bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-41 melalui jaringan Angel Di Maria. Tiga minit selepas babak kedua berlangsung skuad dari Amerika Latin itu berada di depan hasil gol Gabriel Mercado.
Perancis memberikan reaksi lebih ganas apabila meledakkan tiga gol selepas itu, masing-masing sumbangan Benjamin Pavard (pada minit ke-57) dan Kylian Mbappe (minit ke-64 dan 68).
Argentina sekadar merapatkan jurang pada waktu kecederaan hasil jaringan penyerang Manchester City, Sergio Agüero.
Sementara itu mengulas mengenai keputusan pemilihan kali ini Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata, ada khabar sampai kepada beliau bahawa wujud amalan politik wang.
Berita itu - yang disiarkan portal Berita Harian - kemudian diulang ciap oleh Khairy.