Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Dalam pertemuan dengan Malaysiakini dua hari lalu, anggota Dewan Pimpinan Pusat Parti Solidariti Indonesia (PSI) Dara Kesuma Nasution bercakap tentang isu anak muda dan harapan partinya untuk membawa suara baru dalam politik Indonesia.

Berusia 22 tahun, Dara ialah salah seorang daripada pelapis anak muda yang memimpin PSI - sebuah parti politik yang ditubuhkan hanya empat tahun lalu.

Pada pemilu (pemilihan umum atau di Malaysia dikenali sebagai pilihan raya umum) Indonesia 2019, PSI akan membuat kemunculan pertama dengan sasaran 10 peratus undi popular.

Ia mungkin kelihatan kecil pada mata kasar, tetapi mengambil kira jumlah penduduk serta pengundi Indonesia, 10 peratus itu bukanlah angka yang kecil.

Sasaran itu ditetapkan untuk melepasi syarat minimum 4 peratus yang melayakkannya berada dalam Dewan Perwakilan Rakyat (DPR, atau parlimen) negara itu.

Bagaimanapun bagi Dara 10 peratus itu tidak mustahil berdasarkan tingginya rasa tidak percaya rakyat negara terbabit terhadap parti-parti lama.

"Di Indonesia, tidak ramai yang mengidentifikasikan dirinya dengan parti tertentu, tidak seperti AS apabila orang berkata diri mereka ialah Demokrat atau Republikan.

"Hanya 11 atau 12 peratus yang berbuat begitu (di Indonesia), kerana (ramai) yang membenci parti-parti politik. Kami berpeluang untuk menarik sokongan mereka ini," katanya.

Pelajar terbaik Fakulti Ilmu Sosial dan Politik Universiti Indonesia itu juga bakal bertanding sebagai calon PSI untuk kerusi di DPR dalam pemilihan umum nanti.

Selain Dara, seorang lagi pemimpin muda yang menjadi pertaruhan PSI ialah ketua Dewan Pimpinan Pusat Tsamara Amany Alatas, juga berusia 22 tahun.

Namun jika dilihat kembali gagasan PSI, ia tentulah tidak pelik bagi sebuah parti yang meletakkan had umur 45 tahun untuk mana-mana individu yang dibenarkan mengisi setiap jawatan tertinggi, dan menjadikan golongan millenial sebagai sasaran utama.

Delegasi PSI membuat kunjungan ke Malaysia awal minggu ini dan bertemu dengan wakil parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) serta beberapa pemimpin seperti Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Malah Syed Saddiq sebelum ini menyatakan kekagumannya terhadap perkara itu, pada saat Malaysia masih lagi dalam usaha menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Untuk rekod, umur layak mengundi di Indonesia ialah 18 tahun.

Namun sejauh mana tawaran PSI ini - orang muda sebagai pemimpin dan kurangnya beban politik - dapat menyaingi, atau sekurang-kurangnya tidak dihimpit 'gergasi' seperti Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) pimpinan Prabowo Subianto serta parti Presiden Joko Widodo, Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P)?

Optimis walau disindir

Ketua Umum PSI Grace Natalie sekali lagi membangkitkan hilangnya kepercayaan rakyat Indonesia terhadap kalangan politik.

"Jika lihat dapatan tinjauan tahun demi tahun, DPR sering berada di tempat paling bawah. Orang semakin tak percaya politikus dan parti politik.

"Kerana usia mudanya, PSI tiada beban politik. Kami menawarkan sesuatu yang baru, bagaimana pengundi tidak memilih kami jika mereka tahu ada pilihan ini?" katanya.

Mengakui kekangan sumber dan tenaga berbanding parti yang lebih besar, Grace, 35, berkata PSI memanfaatkan penggunaan media sosial sebagai medium kempen utama.

Ditanya tentang medium itu tidak begitu berkesan di luar bandar, dia bersetuju dan berkata PSI pada masa ini memang menyasarkan golongan bandar dan pinggir bandar.

Dengan percaturan itu pun, Grace yakin PSI tetap boleh menempatkan wakil mereka di parlimen.

"Kami sangat optimis walaupun parti yang lebih lama menyindir dengan mengatakan sasaran ini mustahil," kata bekas pembaca berita itu lagi.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kekagumannya apabila melihat begitu ramai ahli politik muda di Malaysia - hal yang disifatkannya jauh meninggalkan Indonesia.

Antara nama yang disebutnya adalah Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh (DAP), Yeo Bee Yin (DAP-Bakri), Syed Saddiq dan Anggota Dewan Undangan Negeri Taman Templer (AMANAH) Mohd Sany Hamzan.

"Indonesia sedikit sekali, itupun mendapat banyak cemuhan dan dianggap tidak mampu... Dalam aspek ini, Malaysia jauh lebih maju," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS