Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa mengambil tindakan berlandaskan asas yang ditemui oleh agensi berkenaan dan mempunyai kuasa untuk membekukan akaun Ibu Pejabat Umno Pusat dan Selangor.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan membekukan akaun yang dilakukan SPRM itu adalah di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.

“Saya tidak tahu dan belum menerima apa-apa laporan berhubung perkara itu (pembekuan akaun) tetapi apa-apa pun kalau ia di bawah SPRM, itu adalah tugas SPRM. Saya tidak boleh nak komen.

"Apa jua tindakan yang dilakukan oleh SPRM, ia tentunya ada asas-asas yang ditemukan oleh pihak SPRM,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berkaitan pembekuan akaun Ibu pejabat Umno Pusat dan Selangor yang didakwa Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

ROS berhak bertindak

Muhyiddin dalam pada itu, turut menafikan dakwaan Ahmad Zahid yang mengatakan beliau akan mengarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran Umno sebagai sebuah parti.

Beliau berkata ROS berhak mengambil tindakan ke atas mana-mana pertubuhan yang didapati tidak mengikuti undang-undang selain gagal mematuhi peraturan mana-mana parti politik.

“Tidak elok untuk Datuk Seri Ahmad Zahid yang pernah berada di kedudukan itu (Menteri Dalam Negeri) bersangka buruk kerana mungkinkah sewaktu beliau berada di sana, beliau berbuat begitu dan mungkin beliau berfikir saya sama seperti beliau.

"Saya tidak sama macam beliau. Saya yakin dan percaya kita mesti bersikap profesional dalam membuat apa-apa siasatan dan jangan mudah menuduh. Kalau Umno telah melakukan kesalahan, Umno kena tahu perlembagaannya dan undang-undang serta apa yang perlu dibuat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid hari ini mendakwa, akaun Ibu Pejabat Umno Pusat dan Selangor sudah pun dibekukan hari ini oleh SPRM manakala akaun Umno Johor juga hampir pasti akan dibekukan SPRM dalam masa terdekat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS