WAWANCARA | Seorang lagi calon presiden Umno membayangkan hayat kerajaan Pakatan Harapan tidak mampu bertahan walaupun sepenggal dan Umno kembali berkuasa dalam tempoh kurang dari lima tahun.
Dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini hari ini Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata ada banyak cara boleh dilakukan untuk mengembalikan Umno berkuasa.
Antaranya kata beliau, melalui proses rundingan dengan parti-parti yang ada di negara ini.
"Banyak cara untuk melakukannya.
"Kamu boleh adakan usaha sama (joint venture), campuran pelbagai gabungan (mix of coallition), (atau) rundingan - asalkan kami tidak mengalami kerugian," katanya.
Tengku Razaleigh ditemui di kediaman merangkap pejabatnya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur hari ini.
Umno akan mengadakan pemilihan yang menyaksikan jawatan presiden dipertandingkan buat kali pertama sejak 1987.
Menariknya Tengku Razaleigh - yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Li - adalah watak yang mencabar presiden Umno ketika itu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semua serba mungkin
Bagaimanapun pada 31 tahun lalu Tengku Razaleigh kalah dengan hanya 43 undi.
Persaingan itu kemudian merebak menjadi krisis dalaman parti yang menyaksikan anak keluarga bangsawan Kelantan itu menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.
Umno pula diharamkan oleh mahkamah pada 1988.
Asalnya jawatan presiden Umno disandang Datuk Seri Najib Razak, namun kekalahan BN kepada HARAPAN pada pilihan raya umum 9 Mei lalu menyaksikan parti berkenaan hilang kuasa sebagai kerajaan pusat buat kali pertama dalam sejarah.
Najib - yang turut dianggap sebagai keluarga 'bangsawan' kerana kedudukannya sebagai anak perdana menteri - meletak jawatan sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan berkenaan.
Selain Tengku Razaleigh, turut bersaing merebut jawatan presiden ialah bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Naib Presiden Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi serta dua lagi calon yang kurang dikenali, Mohamed Iqbal Maricair (Ahli Jawatankuasa Umno Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin (Umno Iskandar Puteri).
Sebelum itu, semasa dalam pertemuan dengan kira-kira 200 penyokongnya Tengku Razaleigh menyatakan kemungkinan Umno akan kembali berkuasa di Putrajaya sebelum PRU akan datang.
Ditanya lebih lanjut dalam temu bual dengan Malaysiakini itu, beliau berkata tidak ada apa-apa kemungkinan yang boleh ditolak termasuk bekerjasama dengan parti lain.
Ditanya adakah parti itu termasuk PAS, Tengku Razaleigh menjawab:
"Kami tidak menolak kemungkinan apa-apa. Tugas kami ialah mendapatkan kuasa. Kami akan menggunakan kuasa itu untuk rakyat."
Mengikut perlembagaan negara, sesuatu parti yang mendapat mandat rakyat boleh membentuk kerajaan selama tempoh maksimum lima tahun sebelum diwajibkan mengadakan PRU.
Berdasarkan keadaan semasa, PRU ke-15 mesti diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2023.
Temu bual ini turut disertai Kow Gah Chie, Lu Wei Hoong, Ahmad Amir Adzim dan Al-Abror Mohd Yusuf.