Sebuah projek perumahan bertingkat yang didakwa dibangunkan secara haram dan terlalu hampir dengan kawasan perumahan Kondominium Mutiara di Ampang dekat sini menimbulkan kebimbangan dan rasa kurang selesa bagi kira-kira 1,000 penghuninya.
Selain tidak tahan dengan gangguan akibat bunyi bising daripada tapak pembinaan itu sejak penghujung tahun lepas, mereka juga bimbang ia mendatangkan risiko tanah runtuh sehingga boleh memusnahkan ruangan parkir dan kenderaan penghuni kondominium itu yang terletak bersebelahan dengan lokasi projek berkenaan.
Seorang anggota jawatankuasa penduduk kondominium itu, Junaidi Johari menggesa kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) agar mengambil tindakan terhadap pemilik projek itu memandangkan ia boleh mendatangkan kesan buruk jika diteruskan.
“Kami juga dimaklumkan bahawa projek itu tidak mendapat kelulusan daripada MPAJ, malah sehingga kini kami masih tidak tahu jenis projek ini dan berapa tingkat ia akan dibangunkan kelak dan setakat ini sudah dua tingkat projek ini dibangunkan.
“Masalah ini perlu diberi perhatian serius kerana kerja-kerja binaan itu tetap diteruskan walaupun sebelum ini pernah dikenakan tindakan oleh pihak MPAJ seperti notis berhenti kerja, malah projek itu berjalan hingga ke malam termasuk pada Sabtu dan Ahad," katanya kepada Bernama.
Tambahnya, projek berkenaan juga didapati beroperasi tanpa mengikut garis panduan keselamatan dengan tiada zink penghadang selain tidak memaparkan sebarang papan tanda dan notis pemberitahuan akan projek itu sehingga mendatangkan rasa gelisah buat penduduk sekitar.
Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad mengesahkan bahawa projek itu berjalan tanpa mendapat sebarang kelulusan daripada pihak MPAJ dan mereka yang berada di tapak binaan itu juga gagal menunjukkan sebarang bukti hak milik tanah yang sah.
Beliau berkata, susulan aduan yang dibuat oleh penduduk pada 11 Okt tahun lepas, MPAJ dengan kerjasama Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat telah memantau lokasi terbabit sejak Oktober.
"Sepanjang tempoh pemantauan itu, MPAJ telah menutup tapak itu sebanyak tiga kali dan mengeluarkan notis berhenti kerja melalui Akta Perancang Bandar dan Desa, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, selain memberi notis dan kompaun, tapak disita, lawatan berkala serta maklumat balas surat rayuan.
"Pada 12 Jun lalu, MPAJ telah merobohkan sebahagian tiang daripada binaan rumah berkenaan dan beberapa bahan binaan seperti beg simen telah disita selain tapak projek itu ditutup,” katanya.
Bagaimanapun, Norhayati berkata MPAJ juga tidak teragak-agak untuk merobohkan keseluruhan binaan projek itu jika perlu.
- Bernama