Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tinggal 52 kerusi, MP Bukit Gantang pula keluar parti
Diterbitkan:  Jun 27, 2018 4:56 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Umno kehilangan seorang lagi ahli parlimen selepas wakil Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meninggalkan parti itu.

Beliau mengumumkan keputusannya selepas menyatakan kekecewaan berhubung keputusan pemilihan sayap Umno minggu lalu.

Ini, menurutnya apabila dua wakil rakyat BN daripada Pemuda dan Wanita tidak diberi laluan dalam barisan kepimpinan pada  Sabtu lalu.

"Budaya mengugut, adu domba, menghasut dan memfitnah, wujudnya politik wang dilihat telah mencemarkan proses demokrasi pemilihan Pemuda Umno bahagian.

“Kekecewaan ini membuat saya mengambil keputusan, untuk melepaskan jawatan ketua Umno bahagian Bukit Gantang, dan menyerahkan kepimpinan kepada timbalan saya saudara Abu Bakar.

“Saya akan berikan tumpuan kepada tugas saya sebagai ahli parlieman yang telah diberi oleh rakyat dan akan memberi perkhidmatan terbaik tanpa ada gangguan politk Umno dan dengan itu juga saya mengumumkan, saya keluar dari Umno dan BN dan menjadi ahli parlimen bebas,” katanya pada sidang akhbar di Taiping hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14, Syed Abu Hussin menang di Bukit Gantang dengan mengalahkan calon BERSATU, Khadri Khalid dan calon PAS, Idris Ahmad dengan majoriti 4,089 undi.

Beliau memperoleh 22,450 undi manakala Idris (16,052) dan Khadri (18,361).

Sebelum ini, pada Ahad lalu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali juga mengumumkan keluar dari Umno dan mennyatakan hasrat untuk menyertai BERSATU.

Dengan tindakan kedua-dua anggota parlimen itu, jumlah kerusi yang dimiliki Umno sekarang adalah 52 berbanding 54 yang dimenangi pada pilihan raya umum 9 Mei.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS