Polis hari ini mendedahkan barangan rampasan di hartanah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bulan lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata rampasan bernilai RM686.37 juta, tetapi nilainya dalam pasaran semasa boleh meningkat antara RM910 juga sehingga RM1.1 bilion.
Barangan-barangan rampasan itu seperti berikut:
- Wang tunai RM116.7 juta
- Barangan kemas bernilai RM440 juta
- 272 daripada 567 beg tangan bernilai RM51.3 juta (Baki 295 masih belum dinilai)
- 423 jam tangan bernilai RM78 juta
- 234 cermin mata hitam bernilai RM374,0000
Antara barang kemas dirampas pula termasuk:
- Rantai leher – 1,400 unit
- Cincin – 2,200 unit
- Gelang – 2,100 unit
- Subang – 2,800 unit
- Kerongsang – 1,600 unit
- Tiara – 14 unit
Selain RM116.7 juta wang tunai terdiri daripada 26 jenis mata wang yang dirampas, sebanyak 12,000 barang kemas, 567 beg tangan, 423 utas jam tangan, 234 cermin mata turut dirampas.
“Barang kemas termahal yang dirampas dari serbuan ke premis berkaitan Najib ialah seutas rantai leher bernilai RM6.4 juta,” kata Amara Singh pada sidang media di Kuala Lumpur.
Beliau berkata bagi beg tangan pula, ia terdiri daripada 37 jenama terkemuka antaranya Bijan, Hermes, Prada dan Chanel.
“Nilai bagi 272 beg Hermes yang dirampas sahaja dianggarkan RM 51.3 juta. Yang lain (beg tangan) masih belum dinilai kerana masih menunggu pakar untuk dinilai, ” katanya.
Jam tangan 423 utas itu pula melebihi 100 jenama antaranya Rolex, Chopard dan Richard Mille, kesemuanya bernilai RM78 juta.
Cermin mata pula, kata Amar Singh terdiri daripada 34 jenama antaranya Versace dan Gucci, kesemuanya dianggarkan bernilai RM374,000.
Katanya rampasan itu melibatkan penggeledahan di enam kediaman yang dikaitkan dengan Najib dan dua anaknya di Putrajaya serta Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Mei lalu, termasuk kediaman peribadi Najib sendiri di ibu negara.
Amar Singh berkata lapan pasukan khas melibatkan 150 pegawai polis dan pakar barangan berjenama mengambil masa 36 hari untuk mengira kesemua barang rampasan tersebut.
Menurutnya proses pengiraan nilai barang rampasan terpaksa mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan beberapa pakar barang kemas dan pakar barang berjenama.
Kesemua wang tunai dan barang kemas kini ditempatkan di Bank Negara, katanya.
Najib yang gagal mempertahankan jawatan perdana menteri setelah Barisan Nasional kecundang pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, sebelum ini dilaporkan mendakwa barangan tersebut adalah ‘hadiah’
Amar Singh berkata pihaknya kini sedang menyiasat dakwaan Najib itu bagi menentukan status barangan berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Beliau berkata polis akan mengambil keterangan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Najib kini dalam siasatan membabitkan skandal 1MDB yang mana beliau secara konsisten menafikan terlibat dalam sebarang perbuatan salahlaku.
Amar Singh turut berkata keterangan 30 orang telah diambil bagi membantu siasatan kes 1MDB setakat ini.