Calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyebut langkah Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pada usia emas mendorong beliau untuk kembali semula ke arena politik.
Dalam temu bual bersama Channel News Asia, veteran Umno itu berkata faktor umur kini tidak lagi menjadi faktor penghalang dengan kemunculan semula Mahathir pada usia 93 tahun.
"Umur tidak menjadi kebimbangan sekarang, dengan perdana menteri kami melakukan 'comeback' pada usia 93 tahun.
"Umno memerlukan pemimpin yang boleh dipercayai bagi melakar masa depannya, untuk memulihkan kepercayaan dan maruah," kata bekas menteri kewangan berusia 81 tahun itu.
Pada tahun 1987, Tengku Razaleigh gagal menewaskan Mahathir bagi jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu.
Beliau kemudian memutuskan keluar daripada Umno dan membentuk Semangat 46 sebelum menyertai semula Umno pada tahun 1998.
Sementara itu, Tengku Razaleigh juga menyatakan Umno mesti melalui proses perubahan untuk membina semula semangat parti itu berikutan kekalahannya pada pilihan raya umum lalu.
"Empat puluh peratus daripada penduduk adalah belia, kita perlu memasukkan lebih ramai profesional muda, intelektual dan membina semangat parti," katanya.
Jutaan ringgit aset Umno
Dalam temu bual itu, Tengku Razaleigh juga dilaporkan menjelaskan bahawa tiada parti di Malaysia yang mempunyai jalinan akar umbi sama seperti Umno.
"Ini yang menjadikan Pakatan Harapan dan Mahathir cemburu kerana ia merupakan aset yang gabungan muda seperti HARAPAN tidak ada," kata Anggota Parlimen Gua Musang itu.
Beliau juga menambah bahawa Umno memiliki aset bernilai ratusan juta ringgit .
Ini termasuk Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan bangunan Umno yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan diamanahkan kepada presiden parti dan setiausaha agungnya.
"Saya perlu melihat fail-fail untuk melihat sama ada aset ini masih bagus," katanya dipetik sebagai berkata.
Pada pemilhan parti itu, Tengku Razaleigh akan dicabar timbalan presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin serta dua yang lain.
Seramai 165,000 perwakilan dari 191 bahagian Umno di seluruh negara akan memilih pemimpin mereka untuk jawatan tertinggi parti itu.