Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dasar perkasakan Melayu mesti diteruskan - Dr M
Diterbitkan:  Jun 26, 2018 6:08 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Beberapa dasar untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu, khususnya bagi merapatkan jurang antara mereka dengan bangsa lain bakal diteruskan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temu bual dengan Channel News Asia, beliau berkata dasar itu sebahagian daripada usaha mengelakkan konflik dengan kumpulan etnik lebih kaya seperti Cina sedangkan orang-orang Melayu memerlukan bantuan, seperti contoh dalam bidang pendidikan di luar negara.

"Semasa di United Kingdom, saya berjumpa dengan beberapa pelajar Cina di sana. Mereka di sana kerana ibu bapa mereka mampu membayar uran pelajaran mereka.

"Tetapi saya dapati kebanyakan ibu bapa pelajar Melayu, tidak mampu untuk memberi pendidikan universiti untuk anak-anak mereka," kata Mahathir.

Beliau berkata sebahagian besar masyarakat Cina di negara ini terlibat dalam perniagaan manakala orang Melayu pula terdiri daripada penjawat awam dan mereka yang makan gaji serta mendapati adalah terlalu mahal untuk menghantar anak mereka belajar di luar negara.

Untuk merapatkan jurang ini, Mahathir berkata, lebih banyak biasiswa perlu diberikan kepada pelajar Melayu.

Beliau mengulangi bahawa dasar berterusan membantu orang Melayu tidak bermakna bahawa kerajaan hanya mementingkan orang Melayu tetapi potensi konflik tercetus lebih besar apabila terdapat perbezaan dalam masyarakat.

"Yang kaya, sangat kaya, dan yang miskin, sangat miskin ... kamu mengundang konflik.

"Tetapi apabila orang kaya tergolong dalam satu bangsa dan golongan miskin pula bangsa lain, potensi konflik lebih besar,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, ada bahagian dan bidang tertentu yang tindakan afirmatif masih perlu dilaksanakan oleh kerajaan.

"Kami telah mengurangkan jurang antara orang Melayu dan kebanyakkan orang Cina, tetapi ada bidang tertentu yang memerlukan kami memberi orang Melayu sedikit dorongan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS