Most Read
Most Commented
Read more like this

Kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya berpunca daripada perbuatan khianat dan bukannya akibat litar pintas, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M Kayveas.

"Selepas siasatan dan kajian dibuat oleh saya, (kesimpulannya) jelaslah ia satu perbuatan khianat," katanya apabila ditanya hasil siasatan mengenai kejadian kebakaran itu pada pagi 29 Jun lalu.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana lintas pintas boleh berlaku sehari sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan satu upacara penting di situ, 'Simposium Penegasan Arah Tuju Idealisme Mahasiswa di Alaf Baru'.

Bagaimanapun, beliau memberitahu kerajaan tidak dapat mengumumkan hasil siasatan itu kerana ia tidak muktamad. Katanya, adalah tidak adil untuk menuduh sesiapa yang menyebabkan kebakaran itu.

Kayveas juga menafikan laporan awal seperti disiarkan dalam akhbar Malay Mail yang menyebut sumber dari Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan kebakaran dewan itu adalah kerana lintas pintas.

Jabatan Bomba menyebut sistem pendawaian DTC sudah usang kerana belum pernah diganti sejak bangunan itu dibina. Penggunaan tenaga elektrik di dewan itu pula meningkat akibat pemasangan pelbagai peralatan semasa persiapan menganjurkan simposium itu yang ditutup secara rasmi oleh Perdana Menteri pada 1 Julai.

Menurut beliau, keputusan siasatan kebakaran itu diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, dan beliau telah membentangkan perkara itu kepada kabinet pada hari yang sama.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS