Salah seorang calon presiden Umno yang akan mengetahui nasibnya Sabtu ini percaya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan tumbang sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dengan penuh yakin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa HARAPAN - yang berjaya menumbangkan BN pada 9 Mei lalu - kini sedang bermasalah.
Kata anggota parlimen Bagan Datuk itu, jika dipilih menjadi presiden Umno nanti beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk menjaga parti berkenaan supaya dapat membentuk kerajaan semula.
"Pembentukan kerajaan ini bukan saja kita kena tunggu sampai PRU ke-15.
"InsyaAllah, kita tahu sebelah sana (HARAPAN) ada goyang sana ada goyang sini, retak sana retak sini.
"Siapa yang retak pun sedang cari Umno (sebab) kita parti tunggal yang besar, yang ramai (di Dewan Rakyat)," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada majlis sambutan Aidilfitri Umno Wilayah Persekutuan hari ini.
Beliau merupakan salah seorang calon utama dalam perebutan jawatan presiden Umno yang akan dilangsungkan pada 30 Jun ini.
Kerusi penting itu kosong selepas penyandangnya Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan ekoran kekalahan BN kepada HARAPAN dalam PRU ke-14 lalu.
'Hanya harga tomato turun'
Ahmad Zahid juga mengecam kerajaan HARAPAN kerana gagal menurunkan harga barang seperti didakwa mereka sebelum ini.
Katanya harga barang makanan tidak berubah kecuali harga tomato.
"Mereka mahu melaksanakan kadar sifar untuk cukai barangan dan perkhidmatan dan mendakwa, di sesetengah negeri harga barang turun antara 30 peratus hingga 50 peratus.
"(Sebaliknya) harga barang-barang itu naik atau kekal (tidak turun)," katanya merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub baru-baru ini.
Katanya lagi, ramai orang terutama kakitangan kerajaan yang dilantik secara kontrak juga bertemu dengan beliau untuk menyatakan kekesalan kerana mengundi HARAPAN.
"Namun dan terlambat. Ini bukan macam tukar baju, ini tukar kerajaan," katanya.