Pemuda Umno akhirnya mempunyai barisan baru 20 orang exco selepas pemenang daripada 183 pesaing diumumkan hari ini.
Blogger Papagomo, nama pena kepada bekas polis trafik Wan Muhammad Azri Wan Deris, masuk senarai exco selepas mendapat tempat ke-16 dalam pemilihan.
Sementara itu, Akmal Saufi Mohamed Khaled gagal menyertai barisan baru exco Pemuda Umno itu.
Akmal Saufi ialah anak bekas menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Bapanya turut bertanding merebut untuk salah satu jawatan daripada tiga naib presiden Umno.
Baru-baru ini, Wan Muhammad mendapat sorotan media selepas didapati bersalah memfitnah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudiannya merayu, mendakwa dirinya seorang nelayan.
Saman fitnah Anwar
Anggota Umno berusia 35 tahun itu mula mencuri tumpuan apabila Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah ke atasnya pada 2013.
Kemudiannya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Wan Muhammad Azri bersalah kerana memfitnah Anwar dan memerintahkannya supaya membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 kepada pemimpin pembangkang itu.
Mahkamah Rayuan pada tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi, dan Wan Muhammad Azri didenda RM10,000 dan dijatuhi hukuman penjara 14 hari.
Papagomo sebelum ini juga pernah didapati bersalah atas kesalahan rasuah dan didenda ketika bertugas sebagai konstabel polis trafik.
Buka lembaran baru, lupakan dosa silam
Papagomo dalam suatu kenyataan lewat malam ini berkata beliau mahu melupakan dosa silamnya, mengambil pelajaran serta membuka lembaran baru.
"Bagi saya pula, saya mahu melupakan yang silam dan ambilnya sebagai pengajaran dan sekarang saya mahu membukan satu lembaran baru," katanya
Beliau juga mendakwa 'dosa silam'nya tidak sebesar 'dosa-dosa' Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Jika hendak memperkatakan tentang ‘dosa’ silam, apa yang orang kiri kanan Tun Dr Mahathir hari ini tidak bongkarkan ‘dosa-dosa’ Tun satu masa dulu? Jika hendak memperkatakan tentang ‘dosa’ silam, Anwar Ibrahim pernah dijatuhi hukuman penjara 6 tahun pada 1999 kerana menyalah guna kuasa.
"Jika nak dibandingkan dengan ‘dosa-dosa’ mereka semua dan bagaimana situasi mereka hari ini, apalah sangat ‘dosa’ saya dan jawatan yang saya pegang hari ini.
"Akhir kata, saya tidak mahu pandang apa yang di belakang. Sebaliknya mahu pandang apa yang didepan dan terus memperbaiki keadaan supaya bertambah baik. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa saya yang lepas," maklum exco Pemuda Umno itu lagi.
Pemilihan untuk sayap-sayap Umno berlangsung kelmarin manakala pemilihan majlis tertinggi parti itu akan berlangsung pada 30 Jun.
Senarai lengkap exco baru Pemuda Umno seperti berikut:
- Hasmuni Hassan
- Azril Rizal Yusof Mohd Sarit
- Lassim Burhan
- Muhammad Faiz Hashim
- Ikmal Hazlan Ikmal Hashim
- Afriz Mohd Noor
- Rizan Aziz
- Mohamad Amin Othman
- Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
- Mustafa Shah Abdul Hamid
- Najmil Faiz Mohamed Aris
- Rais Yasin
- Mohd Adha Zainal Aznam
- Syed Atif Syed Abu Bakar
- Mohamad Faizal Sufar
- Wan Muhammad Azri Wan Deris
- Mohamad Fazly Zainudin
- Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
- Andi Muhammad Suryady Bandy
- Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi