Permohonan polis untuk menahan reman peguam Siti Kasim selama empat hari ditolak oleh Mahkamah Majistret Kajang.
"Pihak polis telah mengemukakan permohonan reman selama empat hari dan selepas semua hujah (dari peguam), majistret menolak permohonan reman dari polis," kata peguam Ambiga Sreenevasan selepas pendengaran reman di mahkamah Kajang hari ini.
"Saya menganggap (permohonan itu ditolak) kerana alasan tidak dibuat oleh pihak polis," katanya.
Ambiga berkata beliau adalah salah seorang daripada 12 peguam yang mewakili Siti dan enggan mengulas lanjut.
Siti ditahan awal pagi ini selepas dituduh menghalang tugas polis yang mahu "menyelamatkan" anak guamnya.
Siti mendakwa anak guamnya itu cuba mendapatkan perlindungan di kediaman tersebut daripada gangguan ibunya.
Terdahulu hari ini, polis dalam satu kenyataan berkata mereka terpaksa memecah masuk ke rumah Siti untuk memastikan anak guamnya yang berusia 24 tahun itu tidak mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Baca: Polis pecah masuk rumah Siti Kasim untuk selamatkan wanita
Serbuah ke rumah peguam itu dibuat susulan laporan polis oleh ibu wanita berkenaan yang mendakwa anak perempuannya tidak stabil dari segi mental.
Polis juga telah membuat laporan berhubung kekecohan yang berlaku ketika peguam itu menyerbu masuk wad pemeriksaan psikiatri walaupun cuba dihalang oleh pengawal keselamatan.
Seorang wanita yang mendakwa ibu saudaranya bagaimanapun mengatakan ibu mangsa sering berkelakuan kasar terhadapnya.
Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata anak guam Siti dihantar kembali ke hospital untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.
Siti ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.