Polis terpaksa memecah masuk sebuah kondominium milik peguam Siti Kasim bagi menyelamatkan seorang wanita daripada mencederakan diri sendiri dan orang lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata tindakan itu dilakukan berikutan laporan polis oleh ibu mangsa pada 21 Jun yang mengatakan anaknya dilarikan Siti Kasim sewaktu menjalani pemeriksaan psikiatri oleh doktor di Hospital Kajang.
"Ketika cuba diselamatkan, mangsa tersebut enggan memberikan kerjasama dengan menguncikan diri di dalam rumah.
"Bagi memastikan beliau tidak mencederakan dirinya sendiri dan juga orang lain maka pihak polis terpaksa memecah masuk.
"Mangsa tersebut seterusnya dihantar ke hospital semula untuk menjalani prosedur pemeriksaan yang tertangguh sebelum ini dan juga untuk pihak pihak pegawai penyiasat mendapatkan keputusan doktor," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata laporan polis juga telah dibuat oleh anggota polis yang mengiring wanita tersebut berhubung kekecohan yang berlaku ketika Siti Kasim menyerbu masuk wad pemeriksaan walaupun cuba dihalang oleh pengawal keselamatan.
Sehubungan itu katanya, Siti Kasim ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 12.40 malam tadi di bawah Seksyen 186 kanun keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
"Reman akan dipohon untuk siasatan lanjut," katanya.
'Dia tak culik saya'
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Facebook berhubung kejadian di kediaman Siti malam tadi, wanita tersebut berkata, "Itu tak betul, dia (Siti) tak culik saya" dari sebalik pintu.
Siti mendakwa dalam satu catatan Facebook pada Khamis bahawa anak guamnya "diculik" oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis.
Ini berikutan laporan yang dibuat oleh ibu anak guamnya itu yang mendakwa "anak perempuannya tidak stabil secara mental dan akidahnya dipersoalkan".
Seorang wanita yang mendakwa ibu saudaranya memberitahu Malaysiakini bahawa ibu mangsa pernah berkelakuan kasar, termasuk kepada adik-beradik yang lain dan ibu mereka.
Mangsa berkenaan dilaporkan keluar rumah selepas dikatakan dicekik oleh ibunya.
Bimbang berlaku tindak balas, ibu saudara mangsa berkata anak saudara perempuannya itu memutuskan untuk tinggal bersama Siti selepas menghubunginya.
Selepas mangsa diambil oleh polis, Siti pergi ke IPD Kajang, di mana beliau kemudian ditahan.