Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chef Wan: Jangan bersifat perkauman isu kebersihan makanan
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 6:40 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Cef selebriti Redzuawan Ismail, atau dikenali sebagai Chef Wan, menyifatkan cadangan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran untuk tidak membenarkan tukang masak asing bekerja di restoran tempatan sebagai "perkauman".

"Bagi saya cadangan itu bersifat perkauman. Macam mana kita halang bangsa lain daripada menimba ilmu dan kemahiran dalam mana-mana restoran?

"Makanan, seperti kasih sayang, tidak ada sempadan.

"Kita ada ramai cef warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara melakukan perkara sama.

"Jadi soalan saya kepada kementerian adalah kenapa berbeza? Tiba-tiba pekerja asing di negara ini tidak boleh masak masakan Malaysia hanya kerana mereka bukan rakyat Malaysia? Kenapa kita perlu diskriminasi mereka?" katanya dalam kenyataan di Instagram.

Chef Wan menjelaskan bahawa adalah tidak adil jika tersinggung apabila ada pihak tidak mahukan menteri kewangan atau peguam negara bukan Melayu, tapi dalam masa sama mendiskriminasikan orang bukan warganegara.

Semalam, Kulasegaran berkata, sebelum hujung tahun, semua premis makanan tempatan dikehendaki hanya mengambil pekerja tempatan.

Bagaimanapun, Kulasegaran telah menjelaskan bahawa ia hanya cadangan, dan keputusan muktamad belum dibuat. Dia juga menjelaskan bahawa cadangan itu hanya untuk premis makanan milik orang tempatan dan bukan orang luar.


Baca Peraturan tukang masak tempatan belum muktamad


Selain untuk mengurangkan pekerja asing dalam negara, ramai pihak percaya langkah itu susulan pelbagai aduan tentang tahap ebersihan dan keselamatan yang diamalkan premis makanan yang mengambil pekerja asing.

Chef Wan bagaimanapun menjelaskan, piawai kebersihan itu boleh diajar dan dikuatkuasakan.

Rasuah pegawai pemeriksa

Menurut Chef Wan lagi, banyak premis makanan, termasuk hotel tidak mengamalkan piawai kebersihan, namun merasuah pegawai pemeriksa untuk mengelak hukuman.

"Jadi siapa yang anda salahkan?" katanya.

Tambah Chef Wan, hanya dengan mengambil tukang masak tempatan tidak menjamin tahap kebersihan makanan yang lebih baik.

"Alahai, nak salahkan pendatang-pendatang dari negara lain yang kita kata pengotor ini dan tak pandai masak masakan kita.

"(Sedangkan) bersepah di seluruh negara ini yang saya sudah lihat dengan biji mata saya sendiri restoran orang Malaysia yang pengotor. Semuanya diuruskan dan dioperasikan oleh rakyat Malaysia.

"Kita lupa sifat-sifat pengotor ni wahai menteri sumber manusia sebenarnya terdapat dalam setiap bangsa mahu pun pada setiap tuan empunya restoran ini.

"Anda patut pakai apron dan kerja sendiri untuk tengok pengalaman ini. Anda akan terkejut betapa teruka keadaan industri hari ini," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS