Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menjelaskan laporan yang mengatakan pemilik restoran hanya dibenarkan mengambil bekerja tukang masak tempatan itu masih lagi dalam peringkat cadangan dan belum ada keputusan muktamad.
Kulasegaran berkata kementerian masih perlu membincangkan cadangan itu dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, lapor media tempatan.
"Tidak ada keputusan lagi. Kita perlu berbincang dengan semua pihak berkepentingan," katanya sebagaimana dipetik The Malaysian Insight (TMI) hari ini.
Menteri berkenaan terpaksa menjelaskan perkara itu selepas dikritik susulan sebuah laporan media semalam.
Kulasegaran dilaporkan berkata semua restoran perlu menggajikan tukang masak dan chef tempatan bermula dari 1 Julai tahun ini dan pengendali restoran memiliki masa sehingga akhir 2018 bagi memastikan dapur mereka hanya dikendalikan tukang masak tempatan.
Gerai, restoran India-Muslim, kedai kopi
Mengulas soalan jika peraturan itu - selepas digubal - bakal merangkumi semua restoran, beliau menjawab peraturan itu hanya dikenakan kepada restoran tempatan.
Kulasegaran memberi contoh sebuah restoran Perancis tidak akan menggajikan chef tempatan kerana cukup jelas keperluan menggunakan tenaga kerja yang mahir dalam masakan berkenaan.
Bagaimanapun, Kulasegaran berkata restoran tempatan juga termasuk gerai penjaja dan restoran India-Muslim serta kedai kopi.
Beliau memaklumkan cadangan itu sejajar dengan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.
Menteri itu sebelum ini berkata kerajaan baru ingin mengutamakan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan cuma membenarkan pengambilan pekerja asing berasaskan keperluan.
Malaysiakini cuba menghubungi Kulasegaran bagi mendapatkan penjelasan lanjut.