ULASAN | Buat pertama kalinya dalam sejarah, kerajaan BN yang ditunjangi parti Umno telah ditolak oleh rakyat sekali gus kehilangan kuasa untuk terus memerintah.
Penolakan ini memberi isyarat yang sangat jelas kepada Umno. Umno wajib melakukan perubahan drastik di semua peringkat untuk mengembalikan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu dan bumiputera yang selama ini menaruh sepenuh kepercayaan kepada parti ini untuk menerajui kepimpinan negara.
Walaupun saya telah mengumumkan tidak akan bertanding apa-apa jawatan pemilihan pada kali ini, sebagai Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia, saya mengharapkan agar keputusan pemilihan sayap esok akan diterjemahkan dengan akal dan bukan perasaan semata-mata.
Terlalu banyak perkara penting yang sepatutnya diberi perhatian tetapi dipandang sepi.
Tinggal kurang dari 24 jam saya akan menamatkan tempoh kepimpinan Puteri Umno dan menyerahkannya kepada ketua yang baru. Maka besar harapan saya agar perkara-perkara berikut dapat diberi perhatian dan diperjuangkan terus.
- Keahlian parti
Kerap kali perkara ini diketengahkan tetapi masih terdapat banyak kepincangan, seperti penolakan keahlian oleh individu tertentu, alasan kehilangan borang dan kelewatan mendaftar ahli baru.
Kesukaran dan halangan yang tidak sepatutnya berlaku ini merencatkan niat dan hasrat ramai khususnya anak muda untuk menyertai Umno.
Begitu juga dengan isu ramai yang kecewa (termasuk Wanita dan Pemuda Umno) apabila mendapati mereka tidak layak menjadi calon hanya disebabkan tidak cukup tiga tahun menjadi ahli sedangkan mereka telah menghantar borang keahlian lebih awal dari itu.
Malah, ramai ahli baru yang terkejut kerana nama mereka tiada dalam senarai keahlian semasa cawangan bermesyuarat baru-baru ini. Kegagalan Umno mewujudkan sistem yang lebih cekap untuk menangani isu ini amat saya kesali dan perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku.
Begitu juga dengan cadangan keahlian automatik di bawah 35 tahun haruslah diberikan.
- Kaedah pemilihan parti
Sejak penubuhan Umno khususnya menjelang pemilihan parti, pelbagai sekatan dalam bentuk peraturan baru dan tatacara persidangan telah diperkenalkan. Sistem pemilihan berdasarkan peraturan sayap parti yang diperkenalkan pada pemilihan lepas telah dibangkitkan oleh Puteri Umno.
Beberapa isu dan permasalahannya dirujuk untuk tindakan. Malang sekali tiada respon dan tindakan oleh Ibu Pejabat Umno Malaysia.
Akibatnya, senarai pertama yang dikeluarkan oleh ibu pejabat menunjukkaan ahli Puteri Umno yang menawarkan diri untuk pelbagai jawatan parti di 41 dari 191 bahagian di seluruh negara didapati tidak layak untuk menjadi calon.
Ini bukan sahaja mematahkan semangat pemimpin pelapis malah menyebabkan Umno dipandang sinis sebagai parti elit yang dikuasai dan disertai oleh orang tertentu sahaja.
Malah, ini sudah pasti akan membantutkan usaha Pergerakan Puteri Umno Malaysia yang selama ini bertungkus lumus mendekati serta menyemai benih bakat kepimpinan untuk melahirkan pemimpin wanita muda yang berkaliber melalui program seperti ADINDA dan SWiNAS.
Perkara ini juga mesti dilihat dan pindaan peraturan perlu dibuat segera untuk memulihkan imej parti secara total.
Hapuskan sekatan yang hanya menguntungkan individu dan merugikan parti. Kajian semula kaedah pemilihan parti perlu dilakukan .
- Membuka ruang
Jumlah calon yang menawarkan diri pada pemilihan Puteri Umno kali ini telah meningkat lebih dua kali ganda berbanding pemilihan 2013. Daripada 30 orang kepada 71 orang. Ada antara mereka tidak pernah menjawat jawatan utama dalam Puteri sebelum ini.
Mereka adalah anak- anak muda yang penuh potensi serta terlibat secara langsung di dalam program Umno dan Puteri yang kemudiannya menjadi ahli.
Pada kali ini rela menawarkan diri sebagai calon untuk perjuangan memulihkan semula Umno.
Umno di semua peringkat perlulah membuka seluas-luasnya ruang kepada ahli baru melalui inisiatif dan langkah-langkah proaktif.
- Umno lebih relevan dan inklusif
Semakin lanjut usia Umno, pemilihan parti semakin dikuasai oleh 'panglima' di peringkat cawangan dan bahagian. Bukanlah rahsia lagi bahawa mereka inilah yang menentukan siapa yang akan mengundi dan siapa akan diundi.
Malah ada yang dengan angkuhnya mengatakan kepada umum bahawa mereka menang tanpa bertanding selama berpenggal-penggal.
Isu ini memberikan impak negatif kepada pemimpin baru seperti Puteri Umno.
Oleh yang demikian, tindakan drastik seperti mengehadkan tempoh pejawatan di semua peringkat perlu diperkenalkan. Ini dapat mengelakkan orang yang sama menguasai cawangan dan bahagian.
Diharapkan langkah ini akan memberi lebih banyak peluang kepada pemimpin pelapis untuk menyerlah dan mengekang pengaruh individu yang tidak lagi relevan di semua peringkat.
- Membenteras gejala rasuah dan salah guna kuasa
Kepimpinan Umno yang baru mestilah sentiasa peka dengan gaya dan penampilan pemimpin parti. Mereka yang terlibat dengan unsur-unsur negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mempamerkan kemewahan yang diragui puncanya memberi persepsi negatif kepada parti.
Mereka ini hendaklah dirujuk kepada lembaga disiplin untuk semakan dan pengisytiharan harta. Ini dapat memastikan imej Umno terjaga.
Para perwakilan sekelian. Rakyat di luar sana sedang memerhati setiap gerak geri kita. Ramai yang masih berharap agar Umno dapat dipulihkan dan kelangsungan membela agama, bangsa dan tanah air dapat diteruskan.
Tanamkan sifat keikhlasan dan ketepikan sikap angkuh kita. Jangan sekadar laungan retorik. Lihat semula kenapa rakyat menolak kita.
Esok adalah hari yang penting buat hala tuju Umno. Buatlah pilihan yang bijaksana. Ketepikan perasaan taasub kepada individu. Sebaliknya, undilah calon yang mampu memulihkan imej parti dan memperbetulkan semua kepincangan yang menyebabkan Umno ditolak.
Selamat bersidang dan selamat memilih.
DATUK MAS ERMIEYATI SAMSUDIN ialah ketua Puteri Umno dan bekas timbalan menteri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.