Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Ketua Pegawai Eksekutif DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Reza Albar dan pegawai tinggi dari Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd China (Geely) pagi ini.
Jurucakap kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan itu berlangsung di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, butiran mesyuarat tidak didedahkan.
Syed Mokthar memiliki kawalan terhadap DRB-Hicom yang mempunyai 50.1 peratus saham dalam syarikat pengeluar kereta nasional Proton, manakala Geely mempunyai 49.9 peratus kepentingan.
Mahathir, yang mengasaskan Proton pada tahun 1983 mengkritik kerajaan sebelum ini berhubung perjanjian dengan Geely tahun lalu.
Dalam tulisan blog yang penuh emosi, Mahathir mendakwa Malaysia kehilangan ikon nasional dan Proton kini menjadi jenama asing.
Pada tahun 2016, Mahathir meletak jawatan sebagai penasihat Proton selepas tidak bersetuju dengan pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib menafikan pentadbirannya mahu menjual kepentingan negara kerana perbezaan pandangan dengan Mahathir.
Najib berkata sebagai perdana menteri, beliau sanggup mengetepikan perbezaan politik dan menyediakan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pinjaman mudah untuk terus menjaga kebajikan kakitangan Proton.
“Sebenarnya kita tidak pernah jual kedaulatan negara, adalah menjadi hak Proton untuk ambil mereka (Geely) sebagai rakai strategik supaya masa depan Proton akan menjadi masa depan penuh harapan dan bukan sarat dengan kehampaan.
“Kalau kita main emosi sentimen sahaja tetapi kecundang dan rugi dalam perniagaan maka itu adalah satu pemikiran pak pandir yang tidak memberi apa-apa faedah kepada negara,” katanya.
Baca: Kerjasama dengan Geely selamatkan warga kerja Proton - Najib
Selepas keputusan pilihan raya umum 9 Mei, Mahathir berkata kerajaan tidak berhasrat membeli semula Proton.
Bercakap pada persidangan Nikkei di Tokyo pada 11 Jun, Mahathir berkata pentadbiran baru sedang meneroka kemungkinan memulakan kereta nasional lain dengan bantuan negara-negara Asia Tenggara.
“Cita-cita kami untuk mulakan kereta nasional yang lain, mungkin dengan bantuan negara-negara Asean dan rakan-rakan kami,” katanya.
Baca: Mahathir mahu projek kereta nasional baru