Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MAS: Tiada pelepasan caj untuk rombongan Najib bercuti
Diterbitkan:  Jun 21, 2018 6:29 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Malaysia Airlines (MAS) hari ini menjelaskan mereka tidak memberi sebarang pelepasan caj kepada bagasi rombongan Datuk Seri Najib Razak ke Langkawi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini syarikat penerbangan terbabit menjelaskan apabila penumpang mendaftar masuk secara berkumpulan, semua bagasi boleh disatukan dan ditanda di bawah satu nama.

Keadaan itu kata MAS mungkin "kelihatan sebagai bagasi berlebihan dalam sistem".

"Dalam kes yang tersebut, jumlah bagasi yang didaftar masuk oleh kumpulan penumpang terbabit masih dalam kadar yang dibenarkaan.

"Malaysia Airlines sentiasa mematuhi dengan ketat dasar mengenai bagasi berlebihan dan boleh mengesahkan tiada pelepasan diberi," kata kenyataan berkenaan.

MAS juga berkata pihaknya sedang menyiasat sumber yang menyebabkan imej tangkap layar mengenai butiran penerbangan Najib tersebut menjadi tular.

Terdahulu rombongan Najib berkenaan didakwa mendapat pelepasan caj bernilai lebih RM17,000 walaupun berat bagasi mereka melebih setengah tan.

Percutian di pulau peranginan tersebut turut disertai enam yang lain termasuk isteri Najib, Rosmah Mansor, anak, menantu dan cucu mereka.

Sementara itu seorang veteran industri penerbangan memberitahu Malaysiakini, berdasarkan tangkap layar yang tular itu Najib dan keluarganya terbang sebagai penumpang kelas bisnes.

Dia yang enggan dikenali menambah, dua daripada mereka juga anggota kelas platinum syarikat penerbangan berkenaan.

Difahamkan selain keluarga Najib rombongan terbabit juga disertai 17 penumpang lain yang menaiki pesawat udara berkenaan di tempat duduk kelas ekonomi.

Berdasarkan maklumat pada laman sesawang MAS, anggota platinum dikecualikan bayaran bagasi 100 peratus, manakala penumpang kelas bisnes mendapat kelebihan sehingga bagasi 80kg. Penumpang kelas ekonomi pula tidak dikenakan bayaran untuk bagasi dengan berat sehingga 30kg.

Mengikut kemudahan semasa yang diberikan MAS, rombongan Najib - yang turut melibatkan dua anggota platinum - boleh membawa masuk sehingga 840kg bagasi tanpa dikenakan caj tambahan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS