Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri dilarang beri surat sokongan dengan implikasi kewangan
Diterbitkan:  Jun 21, 2018 5:15 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Kabinet hari ini memutuskan untuk melarang para menteri dan timbalan menteri daripada mengeluarkan surat sokongan untuk projek-projek kerajaan dan perkara-perkara yang mempunyai implikasi kewangan, kata Menteri Pelajaran Maszlee Malik.

“Menteri-menteri dan timbalan menteri tidak dibenarkan lagi membuat surat sokongan kepada mana-mana tender.

“Ini untuk urus tadbir yang baik. Amalan begitu banyak berlaku pada masa lepas dan menyebabkan banyak salahguna kuasa dan sebagainya.,” kata Maszlee pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai amalan ahli politik yang mengeluarkan surat sokongan.

Namun, katanya, penggunaan surat sokongan itu boleh dikaji bagi urusan Kementerian Pendidikan sekiranya ia tidak melibatkan wang selain jika ia isu terdesak seperti kesihatan.

“(Tapi) kita tidak berapa galakkan, kecuali pada isu isu yang terdesak dan medesak.

"Sebagai contoh, surat sokongan cuti sebab sakit atau minta dipindahkan atas sebab kesihatan, ia tidak digalakkan tetapi akan dikaji jika kesnya tulen," katanya pada sidang media di kementerian itu di Putrajaya, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan melayani sebarang surat sokongan untuk anak atau anak saudara.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta supaya penggunaan surat sokongan untuk urusan perniagaan daripada kerajaan diperhalusi dengan teliti.

Beliau berkata sekiranya boleh, kerajaan perlu menghentikan amalan surat sokongan itu bagi membendung salah guna kuasa dalam parti dan penjawat awam.

Menurut Maszlee, wakil rakyat berbuat demikian kerana mereka berasa lebih mengenali penduduk di kawasan masing-masing.

“Jadi mereka membantu pemohonan. Tapi ini yang tak melibatkan isu kewangan.

“Contohnya recommendation atau sokongan kawan ini bercuti kerana sakit kronik dan sebagainya. Itu yang saya rasa tidak galakkan tapi untuk kes-kes yang mendesak itu boleh dipertimbangkan,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS