Paling Popular
Terkini

Calon presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat tiada keperluan untuk mengadakan debat menjelang pemilihan parti itu.

Menurut beliau, parti itu tidak perlu mengikut sistem parti Demokrat atau Republikan di Amerika Syarikat dengan mengadakan perdebatan antara calon-calon presiden.

"Kita tidak berhasrat untuk mengikut sistem parti Demokrat atau Republikan, bagi adakan perdebatan antara calon-calon presiden.

"Kerana acuan politik kita adalah acuan keluarga.

“Parti kita parti terbesar orang Melayu, jadi eloklah jika ada isu-isu kita mahu raikan perbezaan kita buat di halaman rumah kita sendiri," katanya pada sidang media pada majlis Hari Raya Umno Kelantan, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri beberapa calon yang bakal bertanding pelbagai jawatan tertinggi Umno, antaranya calon timbalan presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tan Sri Annuar Musa.

Terdahulu, cadangan debat antara calon presiden Umno diusulkan oleh salah seorang calonnya iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan pelawaan itu disahut seorang lagi pencabarnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ahmad Zahid yang kini menjalankan kerja-kerja presiden Umno berkata, jika wujud perbezaan di kalangan calon, tiada keperluan untuk berkongsi dengan orang lain.

"Kita tak perlu berkongsi perbezaan ini dengan orang lain yang tidak mahu melihat Umno ini kukuh.

"Biarlah kita selesaikan dengan cara Umno dengan ukhwah dan rasa kekeluargaan," tegas anggota parlimen Bagan Datuk itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS