Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selenggara kereta: Aplikasi SERV semakin diterima masyarakat
Diterbitkan:  Jun 21, 2018 11:09 AM
Dikemaskini: 6:15 AM

Aplikasi SERV, yang membolehkan pemilik kereta menempah dan mendapatkan sebut harga untuk perkhidmatan penyelenggaraan kereta di mana sahaja, kini semakin diterima masyarakat khususnya di kawasan bandar.

Aplikasi yang dibangunkan tiga anak muda dan dilancarkan pada September tahun lepas, memberi khidmat seperti pakej lengkap penyenggaraan kereta, kepada lebih 300 pemilik kenderaan di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Cyberjaya.

Seorang pengasas SERV, Arief Imran Hassan Ashari, 30, berkata idea penubuhan SERV tercetus apabila menyedari kekangan masa kerana sibuk bekerja menyebabkan ada sesetengah pemilik kenderaan tidak menjaga kereta mereka dengan baik.

"Mereka kebiasaannya akan membiarkan kereta tidak diservis atau dalam keadaan teruk sehinggalah kereta mereka mulai rosak.

"Saya bersama dua lagi rakan, Mohd Hazim Nordin dan Hasli Mat Ayob, mengambil keputusan untuk menubuhkan SERV dengan tagline ‘Car Service Anywhere’ yang menawarkan perkhidmatan menukar minyak hitam di mana-mana tempat yang dikehendaki pelanggan seperti di rumah atau pejabat," katanya kepada Bernama di sini.

-- LAGI

SERV-KERETA 2 (AKHIR) SEREMBAN

Beliau berkata SERV, sebuah syarikat berdaftar, turut membuka peluang pekerjaan kepada mekanik-mekanik, dan setakat ini terdapat 18 mekanik yang digelar ‘SERV Partner’.

Selain merancang untuk melebarkan sayap ke seluruh bandar utama di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, Arief Imran berkata beliau berharap untuk memperbanyakkan kolaborasi sesama syarikat permulaan lain untuk menambah nilai perkhidmatan yang boleh ditawarkan kepada para pelanggan.

"Contohnya baru-baru ini, perjanjian kolaborasi antara SERV, Bateriku.com dan JomParking telah dimeterai bertujuan membantu para pemandu menyelesaikan isu penyelenggaraan dan pemanduan mereka dengan cara yang lebih mudah," katanya.

Mengulas aplikasi SERV, Arief Imran berkata pengguna kenderaan boleh menempah khidmat penyelenggaraan kereta dan mendapatkan sebut harga yang bermula dengan RM180, bergantung kepada jenis kereta, minyak hitam dan perkhidmatan tambahan lain seperti penukaran minyak gear, dan lain-lain lagi.

"Mekanik kami akan ke tempat yang dipersetujui pelanggan dan ini bermakna semasa pelanggan sedang bekerja pun, kami boleh datang ke pejabat pelanggan dan menyelenggara kereta mereka.

"Harga yang akan mereka bayar seperti yang tertera semasa mereka membuat tempahan jadi pelanggan tidak perlu risau," katanya.

SERV adalah alumni syarikat pemula niaga Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), dan merupakan peserta dalam kumpulan pertama Program Penderas Global (GAP) pada 2017.

-- BERNAMA
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS