Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Siasatan 1MDB berdasarkan bukti, bukan sentimen
Diterbitkan:  Jun 20, 2018 10:32 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Siasatan kerajaan terhadap 1MDB perlu dibuat berdasarkan bukti dan bukan berasaskan sentimen, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada South China Morning Post, Mahathir berkata perkara itu menyebabkan pihak berkuasa mengambil masa untuk mendakwa syarikat pelaburan strategik negara itu dan bekas pengerusi lembaga penasihatnya, Datuk Seri Najib Razak.

"Jadi, para pendakwa kini sedang mengumpul bukti itu sehingga apabila mereka pergi ke mahkamah, para hakim tidak membuat penghakiman mereka berdasarkan sentimen, tetapi atas fakta dan bukti yang ditunjukkan di mahkamah.

"Oleh itu, kami mengambil sedikit masa daripada yang kami jangkakan," kata Mahathir kepada akhbar harian Hong Kong itu dalam satu temu bual.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan tempoh masa siasatan.

Semalam, sumber memberitahu Malaysiakini ketiadaan dua saksi utama -ahli perniagaan Jho Low dan bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil melambatkan siasatan.


Baca: Ketiadaan dua saksi utama lambatkan siasatan 1MDB, SRC


Nik Faisal dipercayai masih berada di Indonesia, manakala Jho Low dipercayai bersembunyi di Macau.

Pada 7 Jun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-dua individu itu supaya tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Najib merupakan suspek utama dalam siasatan ke atas penyelewengan dana oleh 1MDB.

Setakat ini, beberapa unit kediamannya diserbu dan beliau serta isterinya Rosmah Mansor dilarang meninggalkan negara ini.

Najib dan Rosmah juga telah disoal siasat oleh SPRM. 

Bagaimanapun Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan dana negara, manakala bekas peguam negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan beliau daripada sebarang salah laku.

Reuters sebelum ini melaporkan pihak berkuasa sedang mempertimbangkan untuk mendakwa Najib atas dakwaan pengubahan wang haram.

Peguam Negara Tommy Thomas mengesahkan menerima kertas siasatan dari SPRM dan telah bersetuju menandatangani bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan empat negara lain bagi membantu siasatan MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS