Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengemukakan cabaran debat terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin, dua pencabarnya bagi jawatan presiden dalam pemilihan Umno hujung bulan ini.
"Kalau saya berani membuat penjelasan (terhadap isu), (calon) lain patut ikut serta dan sanggup buat penjelasan yang sama," kata tokoh veteran Umno itu dalam wawancara bersama Astro Awani.
Selain mereka bertiga, empat lagi calon yang akan merebut jawatan tertinggi itu kurang dikenali, iaitu penulis blog Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat (Umno Bangi), Mohamed Iqbal Maricair (Umno Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (Umno Iskandar Puteri).
Namun senarai akhir calon yang layak hanya akan diumum esok.
Pada bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden Umno, susulan kekalahan pertama BN dalam pilihan raya umum.
Najib juga tidak akan bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan kali ini.
Zahid yang menjadi orang nombor dua Umno pada masa itu kini memangku jawatan presiden.
Seterunya melihatnya sebagai orang yang setia dengan Najib yang dianggap sebagai punca utama kekalahan BN pada PRU ke-14.
Justeru mereka meyakinkan Ku Li untuk mencabarnya.
Khairy pula membuat kejutan saat akhir apabila mengumumkan pencalonannya beberapa jam sebelum pencalonan ditutup. Beliau sebelum itu berkata hanya mahu bertanding jawatan naib presiden.