Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri akui 'harga barang turun 30-50 peratus' dibuat spontan
Diterbitkan:  Jun 18, 2018 4:10 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membuat penilaian keseluruhan terhadap kesan pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap kos pengeluaran makanan dan harga bahan makanan.

Menteri berkenaan, Salahuddin Ayub berkata walaupun sebelum ini GST tidak dikenakan ke atas bahan makanan asas namun, keputusan kerajaan itu amat baik dalam usaha menurunkan kos pengeluaran makanan di sepanjang rantaian nilai.

"Ini terutamanya kos berkaitan input, kejenteraan dan perkhidmatan logistik pertanian," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu selepas kenyataannya pada Jumaat lalu berhubung penurunan harga bahan makanan antara 30 hingga 50 peratus sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, telah menerima kritikan pelbagai pihak.

Salahuddin menjelaskan kenyataan itu dibuat secara spontan hasil makluman orang awam kepadanya di beberapa lokasi selain laporan tinjauan umum terhadap penurunan harga bahan keperluan.

Selain itu, katanya, ia dibuat berdasarkan pemerhatiannya terhadap harga bahan makanan terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan yang dipasarkan terus oleh petani di pasar tani.

"Namun, kenyataan tersebut terlalu umum dan tidak boleh diandaikan berlaku di seluruh negara dan untuk semua bahan makanan memandangkan kajian ke arah itu belum lagi dilakukan sepenuhnya," katanya.

Begaimanapun, Salahuddin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan pandangan berhubung kenyataan itu dan pihak kementerian bersifat terbuka dalam menerima semua pandangan dan kritikan.

Pada masa terdekat, pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat untuk memastikan bekalan makanan terus mencukupi pada harga mampu milik untuk rakyat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS