Seorang pramugari Malaysia Airlines hari ini tampil membela Mohamad Sabu selepas timbul dakwaan Menteri Pertahanan itu menggunakan helikopter milik kerajaan untuk kegunaan keluarga di hari raya.
"Kasihan abang Mat dan isteri, ada saja fitnah yang ditimbulkan kepada mereka," katanya yang enggan dinamakan kepada Malaysiakini.
Dia menceritakan pengalamannya bertugas di pesawat MH1148 untuk penerbangan Kuala Lumpur - Pulau Pinang pada hari raya pertama yang dinaiki Mat Sabu dan isteri.
Dia turut berkongsi gambar bersama Presiden AMANAH itu di luar pintu pesawat selepas mendarat di Pulau Pinang.
"Kapten kapal, krew dan penumpang lain sempat bergambar kenangan dengan beliau," katanya lagi.
semalam, seorang pengguna Facebook memuat naik rakaman 27 saat serta dua gambar yang mempersoalkan sama ada Mohamad dan keluarganya menggunakan helikopter milik kerajaan untuk menyambut hari raya di Jejawi, Perlis, tular di laman sosial itu.
Ia menunjukkan sebuah helikopter berlepas dari sebuah padang. Rakaman dan gambar diambil dari jauh, maka tidak jelas siapa yang menaiki helikopter itu mahupun yang ada di situ.
Mohamad semalam menafikan dakwaan itu dan malah berkata beliau tiada di Perlis pada hari raya.
“Tidak benar sama sekali. Saya tidak akan menggunakan aset kerajaan untuk kepentingan diri sendiri dan tidak berada di Perlis pun. Semuanya palsu dan dusta semata-mata,” katanya di Twitter.