Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan sekitar Masjid India saban tahun pada bulan Ramadan sinonim sebagai kawasan di ibu negara yang menjadi tumpuan rakyat membeli-belah sempena menyambut Aidilfitri.
Pengunjung meredah kesesakan lalu lintas di ibu negara terutama pada hujung minggu untuk ke Jalan TAR bagi mendapatkan pakaian dan kelengkapan Hari Raya untuk diri sendiri dan anggota keluarga.
Bagaimanapun, media baru-baru ini mendedahkan skandal berhubung sewa tapak bazar di kawasan itu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemimpin Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Individu berkenaan didakwa menggunakan hubungan politik untuk mengaut ratusan ribu ringgit dengan menyewakan tapak bazar yang diperolehinya pada harga jauh lebih tinggi daripada harga sebenar yang dia bayar kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Susulan itu, Malaysiakini ke bazar tersebut untuk membuat tinjauan.
Lubuk buat untung
Peniaga, Saiful Abdullah, 40, yang ditemui mengaku membayar sekurang-kurangnya RM3,000 untuk berniaga di bazar tersebut bagi tempoh seminggu.
“Saya sewa RM3,000 untuk seminggu dan kita mula meniaga hari Jumaat lepas, tapi hari Sabtu kami tutup sebab tapak bertindih dengan peniaga pasar malam.
"Tapi itulah tak senang dapat tapak ini,” keluhnya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Zamri, 32, peniaga kuih raya yang ditemui juga mendakwa dia terpaksa membayar dengan harga RM3,000 untuk tapak tersebut.
“Nak cari makan, terpaksalah (bayar dengan harga mahal). Dapat untung sekupang dua pun jadilah daripada tak ada,” katanya.
Tidak jauh beza kisah Abdullah Rafiq (gambar), 40, yang menjalankan perniagaan pakaian untuk sembilan hari di bazar itu.
“Hari biasa sahaja untuk satu tapak mereka caj RM400 tapi untuk Ramadan ini saya diminta bayar sekitar RM6,000 untuk berniaga di sini,” katanya.
Jelas Abdullah, meskipun sewa tapak bazar itu mahal, namun dia terpaksa mengambil risiko kerana kawasan itu merupakan lubuk untuk peniaga membuat keuntungan.
“Tempat ini memang lubuk buat duit dan sebab itu mereka tekan kami begini. Sebab ramai orang nak tapak niaga ini.
“Sebab itu ejen tapak dekat sini boleh dapat untuk RM80,000 ribu hingga RM100,000 dan kita yang miskin ini tetap miskin, bukan miskin jadi kaya,” keluhnya.
Tapak diwarisi anak cucu
Sharifah Mohamad (gambar), 41, yang pertama kali berniaga di bazar tersebut turut mengakui sewa yang terlalu mahal.
Namun, dia mengakui tidak mempunyai pilihan lain kerana peluang untuk berniaga di Jalan Tar sesuatu yang sukar untuk diperoleh.
“Saya bayar untuk dua tapak RM8,000, sebulan meniaga. Ini pertama kali saya meniaga di sini.
"Sebelum ini saya meniaga di pasar malam tapi itu pun dah penuh.
"Lagi pun kalau kita tak cuba sekarang, peluang untuk dapat tapak dan berniaga di sini (Jalan TAR) susah, sebab peniaga di sini turun temurun atau diwarisi anak cucu mereka.
“Jadi susahlah bagi kami yang baru nak mula meniaga ini. Nak tak nak kami terpaksa juga ambil dengan harga yang tinggi untuk tapak ini,” katanya.
Ipen, 35, pula yang menjual pakaian baju Melayu berkata beliau mengambil risiko membayar sewa mahal kerana hanya itu cara baginya untuk menjual kesemua barang dagangan beliau.
“Saya sewa tapak ini untuk seminggu RM3,500, nak tak nak saya memang kena ambil sebab permintaan untuk setiap tapak sangat tinggi, semua orang nak.
“Kami meniaga ini pun tak kira untung sangat sebab kami nak barang kami habis saja, jadi untung tak untung tolak tepi,” katanya.
Menurut Ipen (gambar), sebelum ini beliau ditempatkan di kawasan yang agak sempit dan sekali gus menyukarkan pelanggan untuk berkunjung ke kedainya.
“Sebab sebelum ini kami dapat di laluan yang sempit dan tak ramai pelanggan, hasil jualan pula tak sampai RM1,000 untuk satu hari, susah sikitlah,” katanya.
Kenapa diberi pada satu nama?
Sementara itu, Naib Ketua AMK Setia Wangsa, Danaeshwar Maniam yang ditemui ketika turut sama membuat tinjauan di bazar tersebut berkata pihaknya sedang mengumpulkan maklumat berhubung perkara tersebut.
“Kami dapati harga bagi setiap tapak untuk sembilan hari adalah RM53 sahaja, tetapi sekarang ini peniaga di tapak bazar ini kena bayar sekitar RM5,000.
“Jadi, kita tengah kumpulkan maklumat daripada peniaga yang telah dianiaya dan kami juga sedang dapatkan jawapan daripada DBKL,” katanya yang ditemui Malaysiakini.
Danaeshwar juga turut mempersoalkan tindakan DBKL dalam hal tersebut.
“Kenapa tapak ini hanya diberikan kepada satu nama sahaja sedangkan peniaga-peniaga di sini harus dapatkan tapak mereka melalui undian?
“Kenapa DBKL memberikan kebenaran kepada individu terbabit untuk tapak bazar ini dan atas alasan apa beliau diberikan kelulusan sedemikian,” katanya.
Tiada dokumen urus niaga
Bendahari AMK Setia Wangsa Muhammad Arif Shamsuddin pula ketika dihubungi berkata pihaknya sudah bertemu peniaga yang terlibat.
Namun, jelasnya, peniaga tidak diberikan sebarang dokumen dalam urus niaga tapak bazar berkenaan.
“Saya secara peribadi telah berjumpa dengan pihak yang memungut sewa daripada peniaga di tapak bazar ini dan bertanyakan atas arahan siapa serta di mana bukti atau dokumen berkaitan sewa tapak ini sehingga memerlukan RM3,000 hingga RM5,000.
“Tetapi malangnya mereka enggan berikan (dokumen) dengan alasan yang diberikan perniagaan atau sewa tapak di sini tidak ada dokumen, tidak ada hitam putih,” katanya.
Kata Arif, peniaga tapak bazar berkenaan terpaksa membayarnya meskipun tidak ada hitam putih kerana mereka mahu menjalankan perniagaan mereka.
“Peniaga di sini tertindas dengan cara samseng dan apabila mereka rasa terancam mereka terpaksa juga membayar jumlah yang diminta kerana mereka mahu berniaga walaupun tanpa dokumen.
“Dan disebabkan itu kita susah nak dapatkan bukti peniaga telah membayar kepada pihak yang dianggap wakil daripada Pakatan Harapan dengan jumlah yang besar,” tambahnya.
Tular sebelum ini surat yang mempunyai logo DBKL dan nama Mohd Noorhisyam Abd Karim berserta jawatannya dalam parti sebagai ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang.
Surat berkenaan dipercayai berhubung permohonan mendapatkan kelulusan daripada DBKL bagi menganjurkan bazar itu.
Berdasarkan surat itu, 80 tapak telah diluluskan untuk perniagaan selama sembilan hari dengan bayaran RM6,238.
Ini termasuk bayaran RM180 bagi setiap tapak (RM20 sehari) untuk pelesenan, ruang dan bayaran pembersihan untuk bazar itu yang bermula dari Pasar Raya Myidn di Pudu ke Masjid India.
Walau bagaimanapun, Mohd Noorhisyam didakwa mengaut sehingga RM5,000 dalam bentuk sewa dari setiap tapak.
Mohd Noorhisyam ketika dihubungi Malaysiakini menafikan dakwaan ke atasnya dan menegaskan tidak mengambil sebarang wang daripada peniaga.