Pegawai Kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Dr Zamihan Zin menunjukan keraguan terhadap laporan polis enam waris tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadapnya pada 9 Jun lalu.
“Cuba tanya siapa yang memujuk tahanan untuk membuat laporan polis secara palsu ini?
“Siapa yang menanggung kos perjalanan, makan minum dan penginapan keluarga tahanan yang datang dari jauh semata-mata utk membuat laporan tidak berasas ini?
“Siapa pula berada dibelakang tabir isu ini?
“Mengapa kelima-lima laporan polis menggunakan standard ayat yang sama secara copy paste sahaja?
“Siapa yg menulis ayat laporan ini sebenarnya? Jangan menipu! Allah maha mengetahui hakikatnya,” katanya.
Utusan Online semalam melaporkan waris-waris itu mendakwa Zamihan memaksa tahanan mengaku salah ketika memberi ceramah Nuzul Quran di Penjara Sungai Buloh pada 31 Mei lalu.
Peguam tahanan, Faizal Rahman berkata, anak guamnya berkata Zamihan bukan sahaja memaksa tahanan mengaku salah tetapi turut mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan, hinaan dan fitnah kepada beberapa orang pemimpin negara.