Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan cuba belajar untuk berurusan dengan AS, namun dasar yang dilaksanakan presiden negara itu Donald Trump membingungkan.
Dr Mahathir juga mengakui AS sebuah negara yang kaya dan berkuasa namun menekankan persefahaman bersifat dua hala.
"Kita perlu belajar memahami AS sebagaimana kita mahu AS mahu memahami kita, namun kini, kita keliru dengan dasar yang dilaksanakan Trump.
"Kita tak tahu dia nak pergi mana.
"Jadi kita perlu tunggu dia selesaikan dan memperkenalkan dasar AS yang boleh diiktiraf," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pendapatnya tentang peranan AS dalam perkembangan dunia, dalam sidang media di Tokyo, Jepun hari ini,
Sementara itu, Dr Mahathir memuji sikap Jepun yang menurutnya telah membantu perkembangan negara itu menjadi negara dengan ekonomi kedua terbesar dunia selepas Perang Dunia Kedua.
"Jepun yang beri saya ilham untuk memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur.
"Rakyat Jepun mempunyai sikap bermaruah sehingga mahu capai yang terbaik agar tiada sesiapa yang boleh memalukan anda.
"Dan sikap itu banyak menyumbang kepada kualiti dan ketangkasan dalam melaksanakan sesuatu, dan kebolehan untuk kembangkan negara dan bersaing dengan seluruh dunia," katanya.
Dasar Pandang ke Timur pertama kali diumumkan oleh Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri pada 1981. Ketika itu, dasar berkenaan bertujuan memperkenalkan rakyat Malaysia dengan disiplin dan cara berfikir rakyat Jepun.
Dr Mahathir berada di Jepun bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-24. Lawatan kerja itu merupakan kunjungan luar negara pertama Dr Mahathir semenjak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei lalu.