Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang terhadap tajaan diterima mereka untuk menunaikan rukun Islam itu.
“Jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang kerana dana yang digunakan untuk membantu mereka menunaikan Rukun Islam ke-5 ini adalah dari sumber halal kerana saya akan menanggung dosa yang besar jika ia adalah sebaliknya,” katanya.
Najib juga sedih kerana ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah tidak lagi menerima bantuan haji daripada kerajaan.
"Selain itu, saya juga sedih apabila ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah di negara ini yang memerlukan bantuan bagi memenuhi tuntutan agama menunaikan Haji, kini tidak lagi menerima bantuan dari kerajaan.
"Tun Mahathir adalah silap untuk mendakwa wang yang digunakan 1MDB bagi membiayai beribu jemaah haji, adalah hasil curi," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Najib turut mengulangi penafiannya terlibat dalam sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi dan menyarankan jika beliau didakwa di mahkamah, maka ianya kerana alasan politik.
"Saya ingin ulangi, bahawa saya tidak menerima faedah mahupun mencuri wang dari 1MDB atau mana-mana pihak.
"Jika saya didakwa atas alasan politik, saya yakin mahkamah akan membuktikan saya tidak bersalah," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di suatu majlis di Tokyo berkata kerajaan tidak lagi akan menghantar jemaah untuk menunaikan haji dengan menggunakan wang yang dicuri.
Beliau jelas menyindir "program amal" Yayasan 1MDB yang menaja perjalanan haji percuma.
"Ramai orang tidak akan dapat melaksanakan haji kali ini kerana kerajaan tidak akan membayar haji mereka dengan wang yang dicuri.
"Jika anda mahu, kita boleh mencuri dan bayar, tetapi kita tidak percaya pada cara mencuri wang," kata beliau di hadapan warga Malaysia yang menetap di Jepun.
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan orang-orang yang dekat dengannya dituduh memperalatkan 1MDB untuk menyelewengkan dana daripada syarikat milik negara itu.