Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Suria Strategic Energy Resources (SSER) susulan pendedahan oleh kerajaan berhubung skandal projek saluran paip gas membabitkan RM9.4 bilion.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan bahawa laporan sudah dibuat dengan suruhanjaya berkenaan.
Jelas Lim, pihaknya sudah mengambil alih pejabat SSER yang dimiliki Kementerian Kewangan.
Dalam kenyataan untuk memaklumkan perkembangan tindakan ke aras pegawai perbendaharaan, Lim berkata Presiden SSER Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin sudah dipecat dari jawatan sebagai pengarah syarikat berkenaan.
"Kementerian Kewangan sedang melantik satu jawatankuasa eksekutif (exco) yang akan diketuai oleh sebuah firma perakaunan.
"Jawatankuasa ini akan mengambil alih operasi syarikat serta menyiasat semua transaksi dan urusan yang dilakukan oleh SSER," katanya.