Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB: AS pertimbang dakwa Najib, tapi tunggu Malaysia dakwa dulu
Diterbitkan:  Jun 9, 2018 10:29 AM
Dikemaskini: 3:02 AM

Pihak pendakwa Amerika Syarikat mempertimbangkan kemungkinan untuk mendakwa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak atau sekutunya, tetapi mereka menunggu Malaysia terlebih dahulu memfail dakwaan terhadap mana-mana pegawai Malaysia.

"Begitulah yang sepatutnya," kata seorang pegawai penguatkuasa undang-undang AS.

Ini selepas penyiasat AS mempercepatkan siasatan mereka terhadap 1MDB yang ditubuhkan Najib. Mereka sedang berkongsi lebih banyak bukti dengan pihak berkuasa Malaysia sejak Najib kalah dalam pilihan raya umum bulan lepas, demikian menurut tiga sumber yang tahu secara langsung mengenai siasatan itu.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Malaysia, Amerika Syarikat dan Switzerland, menyiasat tuduhan yang Najib dan sekutunya didakwa mengambil sebahagian daripada AS$4.5 bilion yang didakwa dicuri dari firma dana pelaburan negara, 1MDB.

Biro Penyiasatan Persekutuan yakin kerajaan baru Malaysia lebih bersedia untuk bekerjasama, demikian menurut dua orang yang tahu secara langsung mengenai siasatan itu.

Najib mengekalkan bekas peguam AS John Ashcroft dan firma peguam New York, David Boies untuk mewakilinya berkaitan dengan siasatan AS itu, kata satu sumber yang biasa dengan pasukan peguam Najib.

Dalam satu siri rampasan aset tahun lepas, pendakwa AS mendakwa dalam dokumen mahkamah bahawa sebahagian wang yang didakwa dicuri dari 1MDB dimasukkan ke dalam akaun seorang individu yang dikenalpasti sebagai "Malaysian Official 1."

Sejak Najib kalah dalam pilihan raya, kerajaan baru Malaysia berusaha untuk mendapatkan semula berbilion dolar yang didakwa diselewengkan dari 1MDB.

Ia sedang mempertimbangkan untuk meminta kerajaan AS mendapatkan bank pelaburan Goldman Sachs mengembalikan fi hampir AS$600 juta yang diperolehi daripada bon yang diterbitkan untuk firma dana itu, kata dua sumber yang biasa dengan perkara itu, kepada Reuters pada hari Jumaat.

Tidak ada permintaan rasmi yang telah dibuat tetapi para pegawai tinggi secara aktif membincangkan rancangan itu dalam kerajaan, kata mereka.

Pengganti Najib, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia juga sedang berusaha untuk menangkap Low Taek Jho, yang didakwa menjadi individu utama dalam skandal itu, yang memberi nasihat mengenai pelaburan dan merundingkan perjanjian untuk 1MDB.

[Baca berita penuh]

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS