Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
APAD mampu tingkat kualiti pengangkutan awam - Persatuan
Diterbitkan:  Jun 7, 2018 2:55 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Se-Malaysia yakin penubuhan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengantikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dimansuhkan, mampu meningkatkan kualiti pengangkutan awam negara.

Presidennya Che Ibrahim Che Ismail berkata pengusaha bas ekspres meletakkan asas yang tinggi bagi menjaga kualiti perkhidmatan dan memerlukan agensi seperti APAD untuk pemantauan.

"Agensi baharu (APAD) yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan itu diharap memberi lebih penekanan dalam menambah baik pengangkutan awam di seluruh negara," katanya kepada pemberita di Gua Musang malam tadi.

Che Ibrahim yang juga pengerusi eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd berkata perkhidmatan pengangkutan awam negara seperti bas ekspres sentiasa bersedia menerima segala perubahan berdasarkan perancangan pembangunan oleh agensi baharu itu.

"Kita juga mahu pengangkutan bas ekspres lebih berdaya saing dan mempunyai keupayaan serta berada di landasan terbaik untuk melangkah ke negara maju suatu hari nanti," katanya.

Semalam, Kementerian Pengangkutan mengumumkan akan mewujudkan APAD yang diketuai ketua pengarah bagi melaksanakan fungsi dan dasar pembangunan sektor pengangkutan darat di negara ini.

APAD akan berperanan dalam perancangan dan pembangunan sektor pengangkutan awam darat khususnya berkaitan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan sistem bas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS