Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'HARAPAN tak tepati janji, peruntukan MP tak sama banyak'
Diterbitkan:  Jun 7, 2018 2:24 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia mengumumkan peruntukan kepada anggota parlimen (MP) pembangkang, anggota parlimen BN mempersoalkan jumlah peruntukan yang mereka dijangka terima.

Anggota Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong mempersoalkan kenapa jumlah yang diterima pembangkang tidak sama dengan jumlah yang diterima wakil rakyat parti pemerintah.

Jelas Wee, jumlah diterima pembangkang tidak sampai pun 50 peratus daripada yang diterima anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Tindakan kerajaan HARAPAN memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang adalah dialu-alukan memandangkan ia tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

"Namun peruntukan kepada anggota parlimen pembangkang tidak sampai pun 50 peratus daripada yang diterimaanggota parlimen pemerintah," katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan memberi peruntukan RM100,000 kepada pembangkang.

Jumlah peruntukan yang diterima anggota parlimen HARAPAN pula adalah sebanyak RM500,000.

Untuk rekod, ini kali pertama anggota parlimen pembangkang diberi peruntukan. Selama BN memegang tampuk pemerintahan, peruntukan dana hanya diberi kepada wakil rakyat dari parti pemerintah.

Dalam kenyataan itu, Wee mengingatkan janji HARAPAN untuk berlaku adil kepada semua anggota parlimen.

"Dengan hujah dan nada yang sama, kita ingin tanya balik anggota parlimen HARAPAN, terutamanya dari DAP, yang semasa berkempen dulu telah berjanji untuk berlaku adil kepada semua anggota parlimen.

"Rakyat di Ayer Hitam, Cameron Highlands, Kota Bharu, Mersing dan lain-lain kawasan tak bayar cukai ke? Atau pun bayar cukai separuh saja?" katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Wee menyifatkan HARAPAN sebagai tidak menepati janji untuk berlaku adil.

Sementara itu, anggota parlimen DAP Wong Kah Woh membidas wee sebagai 'tidak tahu malu' kerana sebelum ini BN tidak pernah memberi dana kepada pembangkang.

Wong yang mengumpamakan HARAPAN kini sebagai baru berada di garis permulaan berkata, Wee seakan-akan mahukan kerajaan sudah berada di garisan penamat.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS