Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Profesor harap kerajaan nilai semula keputusan bubar MPN

Selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan, Majlis Profesor Negara (MPN) kini berharap kerajaan menimbang semula tindakannya membubarkan badan itu.

Bekas anggota MPN Profesor Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak memberitahu pemberita mereka menyuarakan hasrat itu dalam pertemuan itu di Menara Ilham, Kuala Lumpur pagi tadi.

"Kita cadangkan agar MPN ini diteruskan. Itulah permohonan kita.

"Nanti pihak Majlis (Penasihat Kerajaan) akan pertimbangkanlah," kata Naib Canselor Universiti Utara Malaya itu.

Sebelum ini, beliau mengetuai kluster politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa MPN.

Ditanya sama ada permohonan mereka untuk mengembalikan semula badan itu seperti asal, Mustafa berkata: (Kami minta kerajaan) pertimbangkan agar (MPN) teruskan program dengan pendekatan baru."

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butrian lanjut dan hanya memaklumkan permohonan baru akan dibuat kemudian.

"Kita akan hantar...belum (hantar) lagi. Tadi kita baru beri penjelasan sedikit sebanyak," katanya sebelum meninggalkan kawasan itu.

Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Raduan Che Rose berkata walaupun pihaknya menghormati keputusan kerajaan, mereka berharap ia dapat dilinai semula kerana ribuan ahli akademik akan terkesan dengan pembubaran MPN.

Pengumuman pembubaran MPN dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama pada 23 Mei lalu.

Mahathir berkata, MPN ditubuhkan untuk memberi nasihat tetapi bertukar menjadi entiti politik bagi membela kerajaan BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS